Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta bertenang berhubung isu tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India.

Penasihat Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata isu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara senyap-senyap menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga tidaklah boleh dibangkitkan kerana DBKL berkuasa menjual pegangannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.

“Malah penjual dibuat dengan niat suci dan balasan yang bernilai (bona fide purchaser for valuable consideration). Oleh itu pembelian tersebut tidak boleh dibatalkan.

“Saya memuji tindakan pemilik berdaftar yang memberi akujanji tidak akan merobohkan kuil tersebut sebelum perpindahan kuil dimuktamadkan. Ini adalah akhlak yang dianjurkan Islam supaya menghormati hak beragama masyarakat bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainul Rijal berkata demikian mengulas isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur untuk membina masjid.

Tambah Zainul Rijal lagi, beliau menasihatkan semua pihak agar tidak mudah melatah dan membiarkan proses rundingaan dibuat secara harmoni dan aman.

“Biarlah rundingan yang sedang berjalan diteruskan. Jangan ganggu rundingan tersebut.

“Hasrat murni untuk melaksanakan wakaf adalah hak beragama pengasas syarikat pemilik tanah tersebut dan mesti dihormati,” katanya lagi.

Terdahulu, peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mendakwa DBKL pernah mengarahkan kuil yang asalnya dibina pada 1893 itu berpindah beberapa meter ke lokasi sedia ada.

Namun, pada 2014 tanah tersebut dikatakan telah dijual kepada Jakel Trading Sdn Bhd tanpa pengetahuan pihak kuil, untuk pembangunan sebuah masjid.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggesa agar semua pihak tidak membangkitkan sentimen keagamaan dan membenarkan rundingan diteruskan. Dia turut menyatakan hasrat untuk melancarkan pembinaan masjid tersebut minggu hadapan.

Anwar dalam kenyataannya menyebut kuil berkenaan dibina secara tidak sah di atas tanah tersebut.

Namun katanya, pemilik tanah, Jakel Trading Sdn Bhd telah menawarkan bantuan demi menjaga keharmonian manakala DBKL pula sedang berusaha mencari lokasi alternatif untuk menempatkan semula kuil itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here