Oplus_131072

JOHOR BAHRU – Banjir di Johor mula menampakkan perkembangan positif apabila seramai 2,459 mangsa banjir sudah pulang ke rumah masing-masing, tengahari ini.

Ini susulan 27 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah ditutup, menjadikan hanya 68 PPS yang masih aktif di enam daerah yang terjejas banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, seramai 10,630 orang terdiri daripada 3,049 keluarga masih berlindung di PPS setakat pukul 12 tengah hari ini.

“Jumlah ini berkurangan berbanding 13,089 orang terdiri daripada 3,749 keluarga pada sebelah pagi tadi.

“Kota Tinggi menunjukkan pengurangan mangsa banjir yang ketara iaitu daripada 1,690 orang (491 keluarga) pagi tadi, menjadi hanya 108 orang (30 keluarga) dengan tinggal dua sahaja PPS yang aktif.

“Kluang juga merekodkan jumlah mangsa banjir yang berkurangan iaitu daripada 2,458 orang (708 keluarga) pagi tadi kepada 1,839 orang (512 keluarga) yang kini ditempatkan di 14 PPS di daerah itu.

“Jumlah mangsa banjir di Kulai juga berkurang daripada 1,531 orang (460 keluarga) pagi tadi kepada 968 orang (306 keluarga) yang masih di empat PPS,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Batu Pahat yang baru terjejas dalam banjir kali ini juga menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir menjadi 211 orangĀ  (79 keluarga) di dua PPS yang diaktifkan.

Menurut beliau, hanya Johor Bahru dan Pontian yang masih menunjukkan penambahan jumlah mangsa banjir yang mana Johor Bahru daripada 5,402 orang (1,532 keluarga) pada pagi tadi meningkat kepada 5,550 orang (1,581 keluarga) dengan 27 PPS masih aktif setakat tengah hari ini.

Di Pontian pula ujarnya, daripada 1,782 orang (488 keluarga) meningkat kepada 1,954 orang (541 keluarga) di 19 PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru tengah hari ini, namun tiada sebarang amaran hujan bagi negeri ini.

Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau dan Sungai Pulai sahaja yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, daerah Muar, Segamat dan Kluang sahaja dilaporkan hujan, manakala Mersing dan Kulai hanya mendung serta lima daerah di negeri ini dilaporkan cerah.

Tiga jalan masing-masing dua di Kota Tinggi dan satu di Segamat masih dilaporkan terputus hubungan.

Jalan Lukut Cina di Taman Aman, Kota Tinggi ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat arus deras dengan Jalan Johor Bahru – Endau dekat LGM atau Bukit Samsu menjadi laluan alternatif.

Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi juga ditutup untuk semua jenis kenderaan kerana arus deras dan laluan alternatif adalah di Jalan Lok Heng atau Jalan Mawai atau Sungai Mas.

Jalan Jabi, Bukit Tempurung di Segamat pula ditutup untuk semua jenis kenderaan, namun tiada laluan alternatif.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan pemantauan di kawasan banjir di Sri Gading, Batu Pahat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here