Gambar hiasan

BERLIN- TikTok, Instagram, YouTube dan permainan komputer menimbulkan ancaman yang lebih cepat kepada remaja berbanding alkohol dan kanabis.

Dapatan itu adalah berdasarkan penyelidikan terbaharu di Jerman yang mendedahkan jumlah remaja yang ketagih terhadap penggunaan media digital.

“Kita sedang berdepan dengan tsunami gangguan ketagihan dalam kalangan golongan muda.

“Saya percaya selama ini kita pandang remeh perkara tersebut,” kata Rainer Thomasius, Pengarah Perubatan Pusat Jerman bagi Isu Ketagihan dalam Kanak-Kanak dan Remaja (DZSKJ) di Pusat Perubatan Universiti Hamburg-Eppendorf (UKE), yang menjalankan kajian ini bersama syarikat insurans kesihatan DAK.

Kadar Ketagihan Lebih Tinggi Berbanding Alkohol atau Kanabis

Kajian itu mendapati lebih daripada satu perempat daripada semua remaja berusia 10 hingga 17 tahun menunjukkan penggunaan media sosial yang berisiko atau patologi, dan 4.7 peratus dikategorikan sebagai ketagih.

“Angka bagi penggunaan media yang bermasalah adalah 5 hingga 50 kali lebih tinggi berbanding penggunaan kanabis atau alkohol dalam kumpulan umur ini,” kata Thomasius kepada dpa.

Walaupun penggunaan media, tidak seperti alkohol atau kanabis, dan hanya memberi kesan secara tidak langsung kepada sistem saraf pusat seseorang namun kesannya terhadap sistem ganjaran dalam otak adalah sama.

Dalam kedua-dua kes, terdapat risiko ketagihan, di mana individu akan mencari lebih banyak rangsangan yang sama dan kehilangan kawalan terhadap penggunaannya.

“Jumlah masa yang sangat besar dihabiskan untuk penggunaan media menyebabkan aspek lain dalam kehidupan terabai,” jelas Thomasius.

Gejala dan Akibat Ketagihan Media Sosial

Kehilangan kawalan terhadap penggunaan media sendiri boleh membawa akibat serius kepada kehidupan remaja. Dalam banyak kes, ia boleh menyebabkan penurunan prestasi akademik, malah sehingga gagal dalam pelajaran. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan pengasingan sosial, kehilangan minat terhadap aktiviti rekreasi dan konflik keluarga.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki lebih terkesan, dengan enam peratus memenuhi kriteria penggunaan media yang patologi, manakala kadar dalam kalangan perempuan adalah kira-kira separuh daripada itu, iaitu 3.2 peratus.

Thomasius menjelaskan bahawa kanak-kanak perempuan sering mempunyai kemahiran sosial yang lebih baik semasa akil baligh.

Mereka dibentuk secara sosial mengikut peranan jantina dan kurang cenderung untuk mengasingkan diri berbanding kanak-kanak lelaki, dan ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada ketagihan yang lebih teruk.

Menurut Thomasius, beza antara penggunaan media yang berisiko dan patologi tidak begitu jelas.

“Gejala awal yang biasa ialah penurunan prestasi akademik dan kehilangan minat dalam pelajaran.

“Walau bagaimanapun, krisis akil baligh atau tekanan emosi akibat masalah dengan rakan sebaya juga boleh menyebabkan masalah sebegini,” katanya lagi.

Penggunaan media dianggap patologi jika gejala tersebut berterusan sekurang-kurangnya 12 bulan. Kajian ini dengan sengaja menggunakan kriteria 12 bulan untuk mengelakkan diagnosis pramatang dan membezakan antara ketagihan sebenar dengan krisis sementara semasa akil baligh.

Apa yang Ibu Bapa Boleh Lakukan?

Thomasius menegaskan, ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menggunakan media sosual perlu bertindak segera sebelum ketagihan semakin teruk.

Katanya, ibu bapa perlu menggunakan naluri mereka dan mengekalkan hubungan yang baik dengan anak-anak mereka.

Antara yang boleh dilakukan adalah mengawal masa dan kandungan penggunaan media sosial secara konsisten.

Ibu bapa juga katanya,  perlu menunjukkan minat terhadap aktiviti dalam talian anak-anak mereka.

“Ibu bapa perlu memberi panduan. Mereka harus menjadi mentor dan moderator yang baik,” katanya.

Namun, ramai ibu bapa berasa terbeban dengan perkembangan media masa kini dan tidak pasti bagaimana untuk menanganinya.

Ini kerana, untuk membimbing anak-anak dalam penggunaan media sosial, ibu bapa sendiri memerlukan kemahiran digital serta tahap ketekalan yang tinggi.

“Ini adalah proses yang memakan masa, memerlukan kesabaran serta kelebihan pengetahuan berbanding anak-anak – terutamanya dalam menilai bahaya media,” tambah Thomasius.

Banyak ibu bapa menghadapi kesukaran dan tidak dapat menyediakan kemahiran ini.

Sekitar 40 peratus ibu bapa tidak mengambil langkah mencukupi untuk menghadkan penggunaan media anak-anak mereka dari segi masa, manakala satu perempat ibu bapa tidak memantau kandungan yang diakses oleh anak-anak mereka dalam talian.

“Itu adalah satu penemuan yang membimbangkan,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here