KUALA LUMPUR – Parti Sosiais Malaysia (PSM) mengumumkan akan meletakan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Pengerusinya, S. Arutchelvan berkata walaupun akan berdepan kesukaran namun parti itu berpandangan pertembungan dua penjuru akan memberikan kelebihan kepada dua buah parti utama yang bertanding.
Jelas Arutchelvan, terdapat beberapa faktor mendesak yang membuatkan parti itu terpanggil untuk turut bertanding pada PRK kali ini.
“Meletakkan calon dalam PRK akan memberikan rakyat untuk membuat pilihan alternatif selain daripada terpaksa memilih antara dua pilihan utama kini, iaitu UMNO-BN dan Pas-PN.
“Pertandingan antara UMNO-BN dan PAS-PN berkemungkinan besar akan menjurus kepada sentimen kaum semata-mata, selaras dengan strategi kedua-dua parti ini mendapat sokongan dengan tidak mengendahkan keharmonian suatu masyarakat majmuk.
“Justeru, PSM adalah alternatif untuk semua yang berjiwa marhaen, iaitu satu intipati penting untuk rakyat memilih jalan ketiga,” katanya dalam satu kenyataan.
PSM pernah bertanding di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dengan mempertaruhkan calon Bawani KS bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning tetapi tewas selepas hanya memperoleh 586 undi berbanding penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang mendapat 9,088 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata penglibatan PSM dalam PRK ini adalah penting untuk membawa naratif kelas dan bukan naratif kaum dalam minda rakyat.
PSM katanya sudah tentunya mengetengahkan isu-isu rakyat sebenar yang jauh lebih penting, seperti isu kos hidup, isu perkhidmatan kesihatan, isu pekerja dan petani, isu alam sekitar, masalah yang dihadapi oleh masyarakat orang asli dan rakyat biasa.
“DUN Negeri Perak memerlukan suara dan jurucakap baharu untuk mengetengahkan isu-isu serius yang melanda negeri Perak, seperti masalah alam sekitar, pemusnahan hutan, pengurusan banjir, dasar perumahan dan hak sektor masyarakat terpinggir, dalam naratif perdebatan dalam DUN,” katanya lagi.
Tambah Arutchelvan, PSM akan mengumumkan calonya pada 8 April depan ketika melancarkan Bilik Gerakan utama untuk PRK Ayer Kuning.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 April untuk hari pengundian sementara 12 April depan sebagai penamaan calon manakala undi awal pada 22 April.
PRK Ayer Kuning membabitkan 31,897 daftar pemilih hingga 22 Februari iaitu 31,315 pengundi biasa serta 582 anggota polis dan pasangan.
Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari.
Pada PRU15 November 2022, beliau mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru. – MalaysiaGazette