Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Parti Warisan kekal dengan pendirian untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah yang dijangka diadakan hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pendirian itu dibuat kerana parti tersebut tidak mahu tunduk kepada pelbagai tuntutan sekiranya Warisan memilih bekerjasama dengan parti-parti politik lain.

Jelas beliau, Warisan juga enggan bergantung kepada tekanan politik termasuk tuntutan jawatan bagi kepentingan peribadi pihak tertentu sebagai syarat kerjasama dengan gabungan politik lain.

“Kita pergi solo supaya masa depan rakyat Sabah tidak lagi bergantung dengan tekanan gabungan yang hanya mahukan jawatan,” katanya selepas menghadiri satu program di Kota Belud, Sabah semalam seperti dilaporkan portal media SabahNewsToday hari ini.

Sebelum ini, Mohd Shafie mengumumkan Warisan memutuskan akan bertanding secara solo pada PRN-17 Sabah akan datang.

Menurut beliau, walaupun tidak mempunyai sumber kewangan yang besar, namun parti itu menawarkan kepimpinan tanpa mengira bangsa selain mampu meletakkan Sabah dan rakyat negeri itu berada di landasan tepat.

Pada PRN Sabah lalu, Warisan memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun parti itu kini hanya memiliki 14 kerusi DUN selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) bertindak keluar parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here