SUBANG JAYA – Seramai 90 anak yatim dan 20 ibu tunggal menerima sumbangan baju raya dan kelengkapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Sumbangan diberikan oleh Persatuan Wanita Antarabangsa Kuala Lumpur, (IWAKL) menerusi program Infag Tautan Kasih Ramadan yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Presiden IWAKL, Sherrie Aljunied Eitler berkata, anak yatim yang menerima sumbangan pada hari ini adalah daripada Rumah Amal Baitul Kasih, Rawang dan Mahaaf Tahfiz Al-Falahiyyan di Shah Alam.
Ujarnya, ia merupakan bukti dan komitmen persatuan tersebut untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik menjelang Syawal.
“Ibu tunggal yang menerima sumbangan adalah daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Anggerik, Ampang,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Sementara itu, setiap rumah amal terbabit turut menerima sumbangan sebanyak RM2,000.
Terdahulu sumbangan disampai oleh Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa iaitu, Nurin Aina Abdullah.
Menurut Sherrie, IWAKL akan terus komited menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“IWAKL terus menegakkan komitmen kami terhadap sokongan komuniti dan tanggungjawab sosial melalui inisiatif dermawan terbaru kami di acara yang bermakna ini,” tambahnya. -MalaysiaGazette