BUKIT MERTAJAM – Bayi lelaki berusia sembilan bulan memerlukan bantuan dana orang ramai sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan dengan segera.
Muhammad Aidan Naufal Mohamad Rizuan yang berasal dari Kulim, Kedah itu dikesan mengalami masalah kecacatan jantung sejak lahir.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, oleh kerana mengalami sesak nafas, Muhammad Aidan Naufal telah menjalani pembedahan sementara bagi memasukkan stent semasa berusia dua bulan.
Katanya, bayi itu kemudiannya dibenarkan pulang ke rumah apabila keadaannya stabil selepas pembedahan.

“Namun, baru-baru ini dia mula sesak nafas, asma, keletihan dan lemah badan akibat masalah jantungnya.
“Doktor memaklumkan pembedahan perlu dilakukan sebelum dia mencecah usia setahun dan jika gagal boleh membahayakan nyawa bayi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ibu bapa bayi tersebut buntu kerana tidak mampu menampung kos pembedahan sehingga terpaksa merayu bantuan dana orang ramai sebanyak RM90,000.
“Bapanya, Mohd Rizuan Azman, 36, bekerja sebagai juruteknik pendawaian elektrik manakala, Norshakila Mohd Noor, 31, seorang orang kelainan upaya (OKU) yang lumpuh separuh badan sejak berusia 18 tahun akibat terjatuh dari tempat tinggi.
“Ketika bapa bekerja, ibunya turut mengurus dua lagi anak berusia 5 dan 8 tahun termasuk menghantar ke sekolah biarpun terpaksa berkerusi roda,” katanya.
Semalam, One Hope Charity turut menyampaikan sumbangan kerusi roda elektrik kepada ibu serta susu dan lampin bayi kepada keluarga tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad 3193433435 atas nama One Hope Charity & Welfare atau di laman web onehopecharity.org.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette