SHAH ALAM – Sudah sampai masa negara-negara di Asia Barat termasuk Malaysia menggunakan pendekatan “ketenteraan” untuk menghentikan jenayah rejim Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, ini kerana semua tindakan diplomasi dan rundingan hanya mencapai kejayaan dalam masa singkat sahaja.
“Seperti mana kita lihat sekarang, gencatan senjata sudah pun berakhir, Israel telah kembali menyerang Gaza dengan begitu teruk sekali.
“Ketika ini, kita lihat hanya Israel sahaja mempunyai kekuatan ketenteraan, tetapi Gaza dan Palestin tidak, itu sebabnya saya menyarankan agar negara-negara di Asia Barat bersatu hati memberi kekuatan ketenteraan itu kepada Palestin,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Himpunan Parti Politik Se-Malaysia bersama NGO Bersolidariti untuk Gaza Palestin anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Turut hadir, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Yusof; Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Sik selaku Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Koordinator Biro Antarabangsa PSM, Choo Chon Kai.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abu Shammala dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Mukhriz berkata, cadangan itu tidak bermaksud untuk mencetuskan peperangan, sebaliknya hanya sekadar untuk mempertahankan Palestin daripada serangan ketenteraan dan menghentikan jenayah pembunuhan beramai-ramai.
“Ada peruntukan dalam Perlembagaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), peraturan berkenaan peperangan yang membenarkan mana-mana pihak diserang untuk mempertahankan diri.
“Maksud saya untuk mempertahankan Gaza dengan menyasarkan sasaran-sasaran ketenteraan Israel sahaja dan mengelakkan daripada menyebabkan pengorbanan orang awam Israel.
“Itu bezanya kita berbanding dengan apa yang Israel dan Amerika Syarikat lakukan di Gaza,” katanya.
Sebagai permulaan, kata Mukhriz, pendekatan ketenteraan itu boleh dilakukan dengan mengiringi pasukan kemanusiaan yang membawa bantuan bekalan dengan dilindungi pasukan keamanan.
“Dengan cara itu anggota tentera daripada pelbagai negara termasuk Malaysia dapat memasuki Gaza dengan tujuan awal untuk memastikan bahawa bekalan kemanusiaan itu sampai kepada rakyat Palestin.
“Kemudian kita harap dengan keberadaan mereka di dalam Gaza itu akan menghalang Israel dan Amerika Syarikat daripada terus membedil Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette