Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar bersama penduduk selepas membuat lawatan dan meninjau isu perobohan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru tidak menolak pembangunan di kawasan itu tetapi ia perlu dilakukan secara adil.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hak penduduk di situ sepatutnya perlu dipelihara dan ganti rugi yang dibuat mestilah bermakna dan berbaloi buat mereka yang juga penduduk asal.

“Kalau beri RM200 tetapi rampas tanah mereka bangun pencakar langit berharga tinggi, nilai tanah meningkat, mereka tidak dapat apa-apa pulangan daripada nilai tanah yang mereka jual dengan harga yang murah.

“Sebab itu jangan kata penduduk tidak mahu pembangunan, mereka mahu pembangunan tetapi hendaklah dibuat secara adil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas membuat lawatan dan meninjau Kampung Sungai Baru, Kampung Baru selain bertemu penduduk di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa membuat lawatan dan meninjau isu perobohan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2025.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuasa hati dengan pampasan yang diperoleh.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, sebanyak 22 daripada 328 rumah masih menghuni di situ.

Menurut beliau, pihak pemaju telah membuat prosiding mahkamah untuk memulakan perintah milikan tanah bagi unit yang masih dihuni itu.

“Setelah pampasan dibayar dan notis dikeluarkan, pemilik tidak lagi hak ke atas tanah tersebut dan penamatan bagi blok-blok flat juga telah diperoleh melalui perintah mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat.

Zaliha menambah, pemilik unit flat akan menerima rumah gantian dengan nilai anggaran antara RM884,000 hingga RM1 juta, manakala pemilik lot teres bakal menikmati antara tiga hingga sembilan unit rumah gantian, dengan nilai tawaran antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta, selain lebihan bayaran tunai,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahathir berpendapat, harga tanah di Kampung Sungai Baru sepatutnya dinilai RM3,000 bagi satu kaki persegi atau sekurang-kurangnya RM32,000 untuk setiap meter persegi.

Jelas beliau, nilai itu boleh menjadi jaminan untuk penduduk dapat kembali setelah kawasan dibangunkan dan tidak perlu berhijrah ke luar bandar.

Tambah perdana menteri dua kali itu, sebelum ini terdapat tanah di Bukit Bintang yang berharga RM7,000 kaki persegi.

Katanya, banyak keuntungan diraih pemaju namun penjual tanah dibayar dengan harga yang murah dan tidak mampu lagi kembali ke tempat ini kerana pembangunan yang dibuat berharga tinggi.

“RM3,000 kaki persegi dan penjual tanah dapat balik nilai tinggi dan tak payah pergi keluar bandar dan boleh kekal di tempat ini serta pembangunan yang dibuat mestilah pembangunan yang mampu dibeli oleh penduduk di sini.

Antara keadaan terkini kawasan perumahan yang telah dirobohkan ketika di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2025.

“Selain daripada itu, saya berpendapat bahawa pendapatan penduduk di sini rendah dan oleh itu peluang-peluang perniagaan mesti disediakan, pembangunan meliputi kedai-kedai yang boleh disewa oleh mereka di man peniaga boleh dapat pulangan tinggi dan mereka mampu tinggal di kawasan yang dibangunkan,” katanya.

Ditanya apa usaha yang boleh dilakukan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu bagi membantu penduduk asal yang mendakwa teraniaya dengan rancangan pembangunan semula di kawasan tersebut, Mahathir mengakui hanya mampu bersuara agar masalah orang Melayu terbela.

“Saya tak boleh lakukan apa pun, saya boleh bercakap saja. Cakap pun (bila) silap polis (akan panggil), jadi tak boleh bercakap pasal bangsa.

“Tapi ini memang masalah bangsa. Bangsa lain pun ada masalah tapi bilangan mereka tidak ramai dan mereka boleh cari cara lain untuk tambah pendapatan,” katanya. – MalaysiaGazette

Antara keadaan terkini kawasan perumahan yang telah dirobohkan ketika di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here