KUALA LUMPUR – Isu kuil haram yang timbul sejak kebelakangan ini bukanlah isu akibat sentimen perkauman atau agama tetapi melibatkan aspek perundangan.
Penceramah bebas, Wong Wai Hung menegaskan, beliau mengecam pihak yang cuba memainkan sentimen agama dalam isu berkenaan dengan menyifatkan tindakan itu sebagai “jahil dan jahat” kerana mengetepikan kedaulatan undang-undang demi kepentingan tertentu.
“Mereka yang meniup naratif perkauman dan agama dalam isu ini perlu disiasat dan ditangkap kerana menyebarkan isu 3R. Hakikatnya, ini adalah isu undang-undang yang jelas,” katanya menerusi kenyataan.
Merujuk kepada Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan 2017 yang dikeluarkan oleh Malaysia Hindu Sangam, Wong menekankan bahawa, kuil mesti dibina di atas tanah milik sendiri atau diurus oleh Jawatankuasa Pengurusan Kuil (JPK).
“Garis panduan itu sendiri menyatakan kuil tidak boleh dibina di atas tanah sewa, pajakan, tanah rizab atau tanah yang dihuni tanpa kebenaran pemilik. Jadi, majoriti kuil haram yang wujud sebenarnya telah melanggar garis panduan ini, apatah lagi undang-undang negara,” ujarnya.
Kenyataan Wai Hung dipercayai berkait dengan isu keberadaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di atas tanah milik Jakel yang sebelum ini diarah dan bersetuju untuk dipindahkan.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan membangkitkan sentimen agama dalam isu tersebut boleh mencetuskan impak yang berbahaya.
“Bayangkan suatu hari nanti jika rumah atau tanah milik anda diceroboh dan penceroboh menggunakan alasan sentimen agama dan emosi untuk ‘play victim’. Adakah anda akan membiarkan mereka mengambil alih begitu sahaja?” soalnya.
Selain itu, Wong turut mempersoalkan pengurusan kewangan kuil yang menurutnya sering lemah dan tidak telus.
“Berapa banyak kuil yang menjalani proses audit kewangan dan mengemukakan laporan kepada pihak berwajib? Ini juga satu persoalan yang perlu dijawab,” tambahnya.
Beliau menyeru semua pihak agar berhenti mempolitikkan isu ini dan kembali kepada prinsip kedaulatan undang-undang dalam menangani perkara berkaitan kuil haram. – MalaysiaGazette