Dua pelajar sekolah maut selepas motosikal dinaiki terlanggar lubang sebelum terjatuh di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Kluang hari ini. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Langkah segera telah diambil dengan menampal jalan berlubang di Jalan Felda Inas -Bandar Tenggara, Kluang, Johor yang meragut nyawa dua beradik, Jumaat lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau telah mengarahkan syarikat konsesi untuk menampal sementara kerosakan tersebut dalam tempoh tiga jam pada hari yang sama dan melakukan tampalan kekal dalam tempoh 24 jam.

Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ujar beliau, kekerapan rondaan di laluan tersebut dan lain-lain laluan ditingkatkan manakala lokasi-lokasi jalan berlubang yang dikenal pasti juga diambil tindakan dalam masa sehari.

Selain itu, papan tanda memaklumkan jalan rosak juga akan diletakkan di lokasi kerosakan jalan yang memberi risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

“Saya sudah mengarahkan tindakan segera diambil dan telah memanggil semua terlibat untuk memberikan laporan lengkap dan terperinci kepada saya. Amaran keras juga saya berikan berkali-kali sebelum ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi kelmarin, Norhazim Kamaruzaman, 17, dan adiknya, Nur Alif iIkhwan, 16, maut selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.

Alaxander turut melahirkan rasa sedih dengan kemalangan yang berlaku dan menzahirkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Ujar menteri berkenaan, beliau kerap menekankan bahawa pelbagai faktor yang menyumbang kepada kerosakan jalan seperti faktor jalan raya menua, kenderaan terlebih muatan berat dan juga cuaca.

Namun beliau berkata, kerja penyenggaraan perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan nyawa manusia walau sekecil mana keadaan lubang di jalan raya.

Ujar beliau, dalam berhadapan situasi kritikal, tindakan menuding jari kepada mana-mana pihak bukan pilihan yang sesuai kerana tindakan segera harus diberi perhatian.

Alaxander turut menjelaskan, polisi penyenggaraan aset, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menzahirkan deklarasi melalui piagam pelanggannya iaitu sekiranya terdapat jalan berlubang, tampalan sementara perlu dilaksanakan oleh pihak konsesi jalan persekutuan yang dilantik dalam tempoh satu hari manakala tampalan kekal perlu dilaksana dalam tempoh tiga hari.

Namun begitu ujarnya, bagi kerja pembaikan berskala besar, permohonan peruntukan perlu diangkat terlebih dahulu dan ianya boleh dibuat secara tahunan dan berfasa.

“Tempoh pembaikan pula akan mengambil masa di antara satu bulan hingga satu tahun, tertakluk kepada jenis dan kompleksiti pembaikan serta kelulusan peruntukan yang diterima.

Bagi penyenggaraan kerja-kerja baik pulih, setiap tahun JKR bersama pihak syarikat konsesi yang dilantik akan melaksanakan pemeriksaan keseluruh rangkaian jalan persekutuan di Malaysia.

Ujar menteri itu, hasil pemeriksaan kemudiannya akan diangkat kepada kerajaan untuk kelulusan.

“Setelah menerima kelulusan peruntukan kerja daripada pihak Kerajaan, pihak JKR akan mengarahkan syarikat konsesi yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan seperti yang telah dikenal pasti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here