Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid bercakap kepada pemberita selepas Himpunan Parti Politik Se-Malaysia bersama NGO Bersolidariti untuk Gaza Palestin di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menubuhkan tabung khas kemanusiaan Palestin dengan mensasarkan kutipan sehingga RM1.4 juta daripada parti-parti politik sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, setiap parti politik perlu menyumbang kepada tabung itu sekurang-kurangnya RM100,000 bagi membiayai bantuan kemanusiaan khususnya bekalan makanan.

“MAPIM hari ini kita nak sasar RM1.4 juta dalam beberapa hari ini untuk kita segera hantar (ke Palestin) sebelum hari raya untuk meringankan penderitaan mereka.

“Sekurang-kurangnya untuk tunjukkan sejauh mana seriusnya parti-parti politik Malaysia, RM100,000 sepatutnya mereka boleh buat, tak lah banyak.

“Kita nak buat itu simbolik kesatuan, itu ideanya, tapi kesegeraan itu sekarang, kita kena hantar duit itu dalam bulan Ramadan, saya cadang dalam tempoh seminggu,” katanya kepada pemberita di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, di sini, hari ini.

Himpunan Parti Politik Se-Malaysia bersama NGO Bersolidariti untuk Gaza Palestin di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam, hari ini.

Terdahulu MAPIM menganjurkan Himpunan Parti Politik Se-Malaysia bersama NGO Bersolidariti untuk Gaza Palestin.

Turut hadir, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Yusof; Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Sik selaku Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Koordinator Biro Antarabangsa PSM, Choo Chon Kai.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abu Shammala dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Mohd Azmi berkata, beliau akan menghubungi kesemua 14 presiden parti politik dalam tempoh dua hari ini dan yakin sumbangan itu dapat dikumpulkan selewat-lewatnya minggu depan.

“Saya akan terus bertemu secara bersemuka seorang demi seorang 14 Presiden parti politik secara peribadi, saya akan cuba buat dalam sehari dua ini, kalau dapat saya mesej.

“Macam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) beliau ada di Makkah, beliau balik 29 Mac, semalam saya ada telefon. Datuk Seri Anwar Ibrahim saya akan tunggu.

“Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pun ada sana, malah Datuk Seri Mohamad Sabu pun ada di Makkah.

“Saya sudah mesej kepada mereka dan rakan kongsi kita di Makkah dan Madinah, supaya mereka dapat bantu. Saya rasa tidak mustahil kita boleh dapat (sumbangan),” katanya.

Mohd Azmi berkata, sumbangan itu perlu dikumpulkan dalam kadar segera susulan bekalan makanan rakyat Palestin semakin kritikal, khususnya untuk sahur dan berbuka puasa.

“Paling kritikal sekarang adalah makanan, bulan Ramadan ini sahur dan iftar, kita nak cadang sediakan makanan siap masak untuk 2,000 orang setiap hari dalam tempoh 10 hari akhir Ramadan.

“Kita hubungi semua sahabat kita, sekarang mereka berada di Makkah untuk mengerjakan umrah 10 hari, di sana pun kita akan kutip sumbangan,” katanya.

Selain itu, MAPIM juga bercadang untuk bertemu dengan pengamal media tempatan dalam masa terdekat untuk menggerakkan “perang naratif” terhadap rejim Israel bagi menghentikan jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

“Cadangan kita untuk mengadakan satu sidang bersama editor media-media Malaysia untuk mengemaskan betul-betul maklumat mengenai hal yang terkini analisis kita supaya peranan media agak menonjol.

“Kita kena ada perang naratif, zionis membuat naratif seperti yang kita tahu, jadi di Malaysia kita kena ada kekuatan media kita,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, MAPIM mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menubuhkan tentera pengaman bagi mengiringi konvoi NGO itu dalam membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin, dalam masa terdekat.

“Selepas ini kita akan ada pertemuan antarabangsa untuk kita melancarkan satu usaha untuk turun dan berhimpun ke Mesir dan bergerak ke Rafah untuk menunjukkan desakan kita terhadap Israel.

“Kita desak tubuhkan satu tentera pengaman mengiringi kita dan masuk ke Gaza, ini adalah cadangan yang mereka sampaikan kepada saya dan MAPIM akan ambil tindakan dan tengok bagaimana kita nak bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast