Reezal Merican.

KEPALA BATAS – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berhasrat meneroka ‘new emerging market’ yang sedang pesat berkembang bagi memperluaskan destinasi perdagangan negara tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu penting kerana Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada pasaran tradisional, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran besar dalam perdagangan global ketika ini.

Jelas beliau, dalam keadaan tekanan geo politik serta perang dagangan di antara China dengan Amerika Syarikat, penerokaan dalam pasaran yang baru ini dilihat amat penting untuk kelangsungan ekonomi negara.

Reezal Merican menyampaikan sumbangan duit raya dan barangan keperluan kepada 600 penerima sempena Aidilfitri di Bertam hari ini.

“Selepas Dubai dan China, Malaysia kini sedang melihat potensi  untuk meluaskan dagangan ke negara seperti Afrika, Mesir, Libya dan Bostwana yang diharap dapat memberi pulangan perdagangan kepada ekonomi negara.

“Antara strategi yang digunakan termasuk memperkenalkan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di peringkat antarabangsa selepas kejayaannya di peringkat tempatan.

“MIHAS yang telah mendapat pengiktirafan Guinness World Record. Tahun lalu, kita bawa MIHAS ke Dubai dan berjaya mencatatkan nilai dagangan RM2.2 bilion dan November ini, kita akan bawa MIHAS ke Shanghai ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sumbangan Kasih Ramadan, Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MBSP, Bertam di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 600 penerima terdiri daripada golongan memerlukan dan asnaf menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan bagi persiapan Aidilfitri.

600 penerima itu terdiri golongan asnaf di Parlimen Kepala Batas.

Tambah beliau, MATRADE merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah perdagangan negara tahun lalu, dengan nilai eksport mencecah RM1.51 trilion, manakala nilai dagangan keseluruhan sebanyak RM2.88 trilion.

“Malaysia kini berada di kedudukan ke-16 sebagai pengeksport terbesar ke Amerika Syarikat dan di tangga ke-26 dunia, sekali gus menunjukkan keupayaan negara dalam sektor eksport, khususnya dalam elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast