KUALA LUMPUR – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia membantu syarikat-syarikat penerbangan mematuhi piawaian kelestarian antarabangsa bagi mengukuhkan industri tersebut.

NIOSH menerusi kenyataan berkata, ia termasuk menyediakan latihan dan pelbagai perkhidmatan berkaitan keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Jelasnya, latihan yang berkaitan boleh dilaksanakan oleh anak syarikat institut tersebut, NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSHcert) khususnya Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).

“CORSIA diperkenalkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mengurangkan kesan karbon daripada penerbangan antarabangsa melalui pelaporan pelepasan dan mekanisme pampasan karbon.

“Dalam konteks pematuhan kepada CORSIA, NIOSHcert merupakan badan pengesahan (verification body) tempatan pertama yang menerima akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia (DSM) untuk melaksanakan pengesahan pelepasan karbon di bawah program CORSIA. NIOSHcert turut disenaraikan dalam dokumen rasmi ICAO, iaitu CORSIA Central Registry (CCR): Information and Data for Transparency, dan telah diluluskan untuk menjalankan verifikasi pelepasan karbon bagi tujuan pelaporan CORSIA,” katanya.

Jelasnya, pematuhan inisiatif seperti CORSIA akan menyumbang kepada agenda nasional dalam memperkukuh prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Di mana syarikat penerbangan yang mampu menunjukkan prestasi karbon yang sahih dan disahkan oleh pihak berkecuali akan lebih diyakini oleh pelabur, rakan niaga antarabangsa dan juga pelanggan.

“Dengan infrastruktur teknikal yang kukuh, dasar kerajaan yang progresif, serta kepakaran tempatan seperti yang ditawarkan oleh NIOSHcert, industri penerbangan negara kini berada di landasan yang tepat menuju pertumbuhan lestari yang sebenar,” ujarnya.

Terdahulu, ketika merasmikan Majlis Pertukaran Dokumen bagi Tempahan Penggantian Pesawat Lorong Tunggal Malaysia Aviation Group (MAG) pada Jumaat yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata industri penerbangan negara sedang pulih dan membina asas kukuh untuk pertumbuhan dan pengembangan berterusan.

Menurutnya, perkembangan tersebut seiring dengan pemulihan sektor penerbangan Asia Pasifik yang mencatat pertumbuhan tahunan tertinggi dengan peningkatan 16.9 peratus dalam hasil penumpang per kilometer (RPK).

Beliau turut menegaskan bahawa tempahan 30 pesawat Boeing 737 oleh MAG mencerminkan komitmen syarikat tersebut untuk berkembang dan kekal berdaya saing, disamping memodenkan  dan mengukuhkan kedudukan negara dalam industri penerbangan global.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here