KUALA UMPUR – Polis giat mengesan suspek dipercayai terlibat kes curi kabel susulan video rakaman Unit Kereta Peronda (MPV) mengejar sebuah kereta tular di media sosial, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku sekitar jam 3.45 pagi dan kenderaan dinaiki kedua-dua suspek telah dikejar dari Taman Rainbow, Sentul hingga ke Jalan Kuching.
“Suspek sebelum itu dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pihak anggota menjalankan rondaan dan bertindak mengejar kenderaan suspek,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan suspek itu menemui pelbagai jenis peralatan disyaki digunakan bagi mencuri kabel.
“Semakan lanjut mendapati, kereta itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat penyewaan kenderaan dan polis kini sedang mengesan suspek terlibat untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Berikutan itu katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan aksi dramatik di Jalan Kuching melibatkan dua lelaki nekad meninggalkan kenderaannya di tengah jalan yang sesak.
Difahamkan, sebuah kereta peronda polis tiba-tiba menahan kenderaan jenis Perodua Bezza di lokasi itu dan kemudian dua individu bertindak keluar serta melarikan diri dari dicekup polis. – MalaysiaGazette