LONDON- Ketua Kremlin Vladimir Putin, mendesak warga Ukraine di Rusia dan di wilayah yang diduduki di negara asal mereka untuk mengambil kerakyatan Rusia atau berpindah ke tempat lain, menurut perisikan Britain pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Putin menandatangani dekri pada Khamis yang mewajibkan warga Ukraine yang menetap di wilayah terlibat untuk “menyelesaikan status sah mereka” sebelum 10 Sept atau meninggalkan kawasan itu, menurut Kementerian Pertahanan di London dalam kemas kini perisikan terbarunya mengenai perang di Ukraine.
“Dekri Putin hampir pasti bertujuan memaksa warga Ukraine yang enggan menerima pasport dan kerakyataan Rusia keluar dari wilayah Ukraine yang diduduki Rusia,” menurut laporan yang dikongsi di platform X.
Kremlin terus melaksanakan dasar “Rusifikasi” di wilayah Ukraine yang diduduki secara haram sebagai sebahagian “usaha jangka panjang untuk menghapuskan budaya, identiti dan kenegaraan Ukraine,” menurut laporan itu.
Kemas kini itu turut menyatakan bahawa Rusia secara tidak sah menganggap Semenanjung Crimea di Laut Hitam, yang telah diilhakkan lebih sedekad lalu, serta wilayah Luhansk, Donetsk, Zaporizhzhya dan Kherson yang sebahagiannya diduduki dan diilhakkan pada 2022, sebagai sebahagian daripada Rusia.
— BERNAMA-dpa