Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berucap pada Himpunan Parti Politik Se-Malaysia bersama NGO Bersolidariti untuk Gaza Palestin, di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Sudah tiba masa semua parti politik di Malaysia tanpa mengira ideologi atau perbezaan fahaman, bersatu dalam pendirian tegas terhadap rejim Israel dan kezaliman negara Barat.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu Palestin bukan sekadar soal agama, bahkan ia merupakan isu kemanusiaan sejagat yang menuntut keberanian dan ketegasan politik.

Mohd Azmi berkata, MAPIM menyeru semua wakil rakyat di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermuafakat menyokong usul khas menentang genosid Israel-Amerika Syarikat di Gaza, Tebing Barat dan Lebanon Selatan.

“Ini adalah langkah penting untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia bertindak dan bukan sekadar bersuara.

“Usul Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memecat Israel dari keanggotaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) amat wajar dan tepat.

“Ia berdasarkan sikap dan tindakannya melanggar semua resolusi dan undang-undang antarabangsa, keputusan mahkamah dunia serta prinsip hak asasi manusia,” katanya ketika berucap pada Himpunan Parti Politik Se-Malaysia bersama NGO Bersolidariti untuk Gaza Palestin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Yusof; Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Sik selaku Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Pengerusi Biro Antarabangsa

Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Koordinator Biro Antarabangsa PSM, Choo Chon Kai.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abu Shammala dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Mohd Azmi berkata, usul khas itu antara lain mengecam secara rasmi jenayah perang Israel dan sekutunya di peringkat antarabangsa, mendesak kerajaan menghantar nota bantahan rasmi kepada Majlis Keselamatan PBB, OIC, dan ASEAN.

“Usul itu juga menggesa pemutusan hubungan dengan mana-mana syarikat dan entiti yang menyokong Israel.

“Menggalakkan kerjasama lebih erat dengan negara-negara lantang menentang Israel seperti Turkiye, Iran, dan negara-negara Amerika Latin,” katanya.

Beliau berkata perjuangan untuk memerdekakan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan dan pemimpin politik semata-mata.

“Peranan organisasi masyarakat sivil (CSO) dan NGO seperti MAPIM, amat penting dalam menggerakkan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, MAPIM menggesa pemimpin politik bekerjasama dengan CSO dan NGO untuk menyusun strategi bersepadu dalam memperjuangkan hak Palestin.

“Setiap wakil rakyat Ahli Parlimen dan ADUN mesti menggembleng rakyat di kawasan masing-masing untuk menyatakan solidariti kepada perjuangan membebaskan Palestin.

“Rakyat juga perlu diberi ruang lebih luas untuk bersuara dan terlibat dalam perjuangan membela Palestin termasuk melalui himpunan aman, kempen boikot, dan tekanan diplomatik,” katanya.

Selain itu, katanya, media nasional perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyebarkan maklumat benar mengenai situasi Palestin bagi memastikan rakyat lebih peka dan bersatu dalam perjuangan ini.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkukuh sokongan rakyat terhadap perjuangan Palestin, bahkan memperlihatkan kepada dunia bahawa Malaysia benar-benar komited dalam memperjuangkan keadilan sejagat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu menjadi suara keadilan dunia dan bukannya pasif atau neutral dalam isu penindasan global.

“Kita perlu menjadi pemimpin dalam perjuangan keadilan antarabangsa, bukan hanya dalam isu Palestin tetapi dalam menentang ketidakadilan global secara keseluruhan.

“Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia bermaruah, kita bertanggungjawab menjadi benteng dalam mempertahankan hak mereka yang dizalimi.

“Inilah masa untuk semua pemimpin politik Malaysia membuktikan kesatuan dan keikhlasan dalam memperjuangkan isu sejagat.

Kita tidak boleh kalah dengan agenda Zionis dan kuasa Barat yang mahu melemahkan negara-negara Islam dan negara membangun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here