KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai melakukan samun bersenjata menggunakan pistol di sebuah kedai emas di dalam sebuah pasaraya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, petang semalam akan direman pagi ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang juga lelaki tempatan itu dicekup sekitar jam 10.15 malam tadi di sekitar kawasan Bukit Beruntung, Hulu Selangor kira-kira lima jam selepas kejadian samun itu.
Katanya, tangkapan dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas menerima maklumat daripada orang awam sekitar jam 4.46 petang.
“Suspek berusia 32 tahun itu telah menggunakan senjata disyaki pistol dan berjaya melarikan tujuh dulang barang kemas di dalam rak pameran kedai terbabit yang dianggarkan berjumlah RM2 juta.
“Dia kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Pesona yang menunggu di luar pasaraya itu dan hasil serbuan yang dijalankan, kita telah menemui semula barang kemas yang dilarikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang bertindak sebagai ‘transpoter’ bagi membantu suspek pertama dalam kejadian samun kedai emas terbabit dan individu itu telah dikenal pasti.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/03/23/suspek-samun-kedai-emas-ditahan-di-bukit-beruntung/
Tambah beliau, kesemua barang kemas yang dicuri termasuk pistol digunakan dalam kejadian samu itu telah dirampas dan suspek sudah dibawa ke IPD Petaling Jaya bagi siasatan lanjut.
Semakan lanjut mendapati, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjatya Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api.
Sehubungan itu, Hussein meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 0379662222 atau Pegawai Penyiasat ASP Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991. – MalaysiaGazette