Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid (hadapan kiri) menyampaikan sumbangan Zakat Wakalah RM20,000 kepada wakil salah sebuah masjid penerima iaitu Masjid Bukit Indera Muda, Pulau Pinang. Gambar Ihsan TNB.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan RM400,000 dalam bentuk Zakat Wakalah kepada 20 masjid terpilih di sekitar Pulau Pinang menerusi Program Ihya Ramadan tahun ini.

TNB dalam kenyataan berkata, setiap masjid menerima sumbangan RM20,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan dan pembangunan komuniti yang berterusan selain penambahbaikan fasiliti masjid.

“Antara usaha penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pembaikan bumbung serta sistem penyaman udara dan lampu, penambahbaikan ruang solat, pembinaan tandas tambahan serta pemasangan sistem audio visual bagi kemudahan pengajian dan ceramah agama.

“Ini memastikan masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran, kebajikan dan perpaduan masyarakat,” kata kenyataan itu semalam.

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid kepada para wakil pengurusan masjid yang terlibat.

Penyerahan itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir sempena Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai.

Dalam kenyataan itu, Abdul Razak berkata, inisiatif ini adalah bukti komitmen TNB dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti yang penting dalam pembangunan sosial dan kesejahteraan setempat.

“TNB bukan sekadar pembekal tenaga elektrik, kami adalah sebahagian daripada komuniti dan ini adalah bukti komitmen kami.

“Sumbangan Zakat Wakalah ini tanggungjawab kami kepada institusi keagamaan demi memastikan masjid kekal sebagai tempat yang memberi perlindungan, sokongan dan harapan kepada mereka yang memerlukan.

“Sejajar dengan semangat Ramadan, kami berharap sumbangan ini membawa makna yang lebih besar kepada rakyat, sama ada dalam bentuk kemudahan yang lebih baik atau bantuan terus kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Ujar kenyataan itu, dengan memperkasa institusi keagamaan sebagai pusat pembangunan komuniti, ia akan membantu golongan yang memerlukan serta memupuk nilai keprihatinan dan perpaduan dalam masyarakat.

Dalam usaha berterusan, TNB turut mengadakan Program Ihya’ Ramadan di Kompleks Balai Islam An-Nur, Bangsar yang mencerminkan komitmennya sebagai rakan komuniti melalui aktiviti harian seperti solat tarawih, iftar dan agihan lebih 2,000 pek makanan.

Orang ramai turut dijemput hadir bagi merasai suasana meriah di penghujung Ramadan serta mengeratkan silaturahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here