MELAKA – Seorang suri rumah tidak menyangka jawapan spontan anak sulungnya semalam untuk tidak memilih warna baju raya Aidilfitri tahun ini adalah petanda Ramadan terakhir bersamanya.
Jamilah Kamaldin, 48, berkata, walaupun masih terkejut, dia reda dengan ketentuan Allah yang hanya meminjamkan anak lelakinya itu, Muhammad Syabil Hakimi Mohamad Subar, setakat usianya 27 tahun.
“Semalam waktu balik rehat berbuka puasa di rumah, saya ada tanya abang nak beli baju warna apa raya tahun ini tapi dia hanya membalas tak payahlah ibu, tak raya pun.
“Cuma waktu itu saya tak rasa apa-apa kerana memang selalunya dia akan bekerja pada hari raya pertama dan saya anggap mungkin itulah maksudnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan dalam kejadian kira-kira 11.10 malam tadi, Muhammad Syabil maut tercampak atas sebuah kenderaan dalam nahas hanya kira-kira 650 meter dari rumah keluarganya di Pangsapuri Rakyat (PPR) Sungai Putat, Ayer Keroh.
Dalam kejadian kira-kira 11.10 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ayer Keroh menemui ajal selepas merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire yang sedang keluar simpang.

Bercerita lanjut Jamilah berkata, anak sulungnya itu yang masih bujang tidak menunjuk sebarang perubahan sikap kecuali kerap menghadiahkannya rak untuk menyimpan benang sejak dua bulan lalu.
“Dua tiga bulan lepas ada dia belikan permaidani dan beberapa kali hadiahkan rak menyimpan benang kerana dia tahu saya suka mengait.
“Sebelum ini pun dia memang ada belanja tiga adik-adiknya tapi tidaklah sekerap ini namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN