KUANTAN – Sebanyak 3.14 juta kenderaan dijangka memasuki Pantai Timur melalui negeri ini pada musim perayaan Aidilfitri ini.
Exco Kerja Raya, Kesihatan dan Pengangkutan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, jumlah berkenaan meningkat kerana kedudukan strategik negeri ini untuk ke Terengganu, Kelantan termasuk ke selatan dan barat.
”Sebanyak 2.24 juta kenderaan akan melalui Lebuhraya KL-Karak bermula 27 Mac hingga 7 April kenderaan. Manakala sebanyak 903,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan Di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
“Trafik dijangka puncak pada 5 April ini iaitu hari Sabtu dengan jangkaan 216,000 kenderaan dan pada 6 April pula dijangka 119,000 kenderaan akan keluar,” katanya sambil meneyeru semua pengguna jalan raya merancang perjalanan sebaiknya.
Razali berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan an Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 di di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan penyelamat (JBPM) negeri, Mohd Razam Taja Rahim.
Selain itu katanya, Kerajaan Pahang turut mengambil langkah mengatasi isu kekurangan kemudahan rehat dan rawat (R&R) dengan membina hentian sementara di empat lokasi di Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dijangkakan siap menjelang Syawal nanti.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebahagian besar kerosakan jalan rosak sudah dibaiki membabitkan kawasan pakej 5C1 di daerah Bentong di LTU.
”Alhamdulillah pihak Jabatan Kerja Raya telah ambil tindak bermula hari ini membabitkan jalan sepanjang 400 meter dan dijangka siap Rabu ini, dengan anggaran kos RM500,000
”Kerja penyelenggaran jalan Persekutuan melalui pihak konsesi dan penaikan taraf jalan di kawasan yang gelap akan dibuat secara berperingkat. Kalau kawasan tidak ada bekalan elektrik di LTU, kita akan pasang solar,” tambahnya.
Dalam pada itu Ir. Razali berkata, JBPM Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan ke atas bangunan dan premis-premis terpilih, dengan lima premis pertama yang diperiksa didapati bebas daripada sebarang risiko kebakaran dan menerima pengiktirafan.
Antara premis yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Istana Abdul Aziz, Makmal Geokimia JMG Pahang, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pasaraya Pantai Selamat, dan Pasaraya Nirwana Air Putih. – MalaysiaGazette