KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menggunakan dron bagi memastikan insiden kebakaran hutan di Pekan dan Gebeng padam sepenuhnya.
Pengarahnya, Mohd Razam Taja Rahim berkata, kawasan kebakaran seluas 285.49 hektar di Kampung Cenderawasih, Ladang Nenas dan Palm Valley di Pekan yang berlaku sejak 7 Mac lalu padam sepenuhnya semalam.
“Operasi pemadaman berjaya dilaksanakan jabatan itu dengan kerjasama agensi berkaitan di lokasi membabitkan kedua-dua daerah itu.
“Pemantauan secara fizikal turut dilaksanakan untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu ini bagi memastikan tiada api di kawasan terlibat.
“Pemantauan sama turut dilakukan di kawasan Gebeng, di sini yang sebelum ini turut terbakar melibatkan kawasan seluas 175.74 hektar di Ladang Kelapa berhampiran MCKIP, di Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025, di sini, hari ini.
Kempen tersebut dirasmikan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim.
Sementara itu, Razali berkata, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kaedah pencegahan kebakaran, keselamatan jalan raya, serta memberi pendedahan awal kepada orang awam tentang cara menangani situasi kecemasan dan kebakaran.
Beliau menasihati pemilik premis, khususnya kediaman supaya peka dengan keadaan untuk mengelak berlaku kebakaran kerana kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada peralatan elektrik.
“Ada di kalangan mereka melakukan aktiviti memasak yang ada kadang-kadang terlupa untuk menutup api ketika memanaskan lauk terutama pada waktu malam.
“Pengawasan daripada orang dewasa penting bagi menawasi kanak-kanak yang bermain mancis atau bunga api selain kesedaran memastikan laluan keluar jika berlaku kecemasan,” katanya. – MalaysiaGazette