KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) berjaya merampas sebanyak 69.1 kilogram dadah bernilai RM1.86 juta dalam beberapa siri serbuan di Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh dua bulan.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, hasil daripada risikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit III KLIA berjaya membongkar pelbagai modus operandi kegiatan.
Menurutnya, dalam serbuan di sebuah kondominium di Cyberjaya pada 24 Januari lalu, JKDM membuat tiga tangkapan termasuk membongkar satu unit memproses ganja.
“Antara rampasan ialah satu parcel berisi tin pes tomyam mengandungi ganja.
“Unit kondominium yang lengkap dengan sistem keselamatan tersebut dipercayai dijadikan tempat memproses dan menyimpan ganja sebelum ia diedarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, empat lagi kes direkodkan menerusi tindakan di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 pada 25 Februari hingga 2 Mac lepas.
Jelasnya, pada 25 Februari, pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan bersama-sama anggota Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP1) Bahagian Perkastaman, Zon Tengah Unit lll telah berjaya menahan seorang individu di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 selepas bagasi miliknya berisi ganja.
Tambah beliau, dua hari berikutnya, seorang lagi individu diberkas di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 selepas bagasi miliknya juga disahkan berisi ganja.
“Selain itu, JKDM turut berjaya menahan seorang suspek di KLIA Terminal 2 yang hendak berlepas ke Kuching, Sarawak selepas bagasinya mengandungi syabu seberat 25.51kg.
“Pada 2 Mac pula, dua suspek ditahan di Pintu Pelepasan KLIA Terminal 1 apabila pemeriksaan mendapati bagasi dibawanya mengandungi 5 kg syabu,” katanya.
Jelasnya, antara taktik penyeludupan di lapangan terbang yang digunakan suspek ialah memasukkan dadah ke dalam plastik kedap udara untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Tegasnya, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan di Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – MalaysiaGazette