GEORGE TOWN – Kes pembunuhan seorang pengurus nasi kandar warga Myanmar di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor pada 7 Mac lalu dipercayai bermotifkan dendam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan lama antara mangsa dan keluarganya di negeri ini serta negara asal mereka.
“Setakat ini, kita telah menahan lapan individu terdiri daripada warga asing dan tempatan berusia 30-an dan 40-an bagi membantu siasatan.

“Motif pembunuhan ini adalah dendam antara kedua-dua pihak dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, pihaknya kini sedang memburu suspek utama kes berkenaan.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai akibat ditetak sekumpulan individu menggunakan parang dalam kejadian di sebuah kedai nasi kandar di Taman Sepadu Jaya di sini.
Kejadian jam 3.20 pagi itu mengakibat mangsa berusia 38 tahun maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan serta kepala akibat ditetak.
Mangsa yang juga pengurus kedai nasi kandar itu didatangi tiga lelaki bertopeng sebelum tiba-tiba bertindak menyerangnya. – MalaysiaGazette