Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour ketika bercakap pada sidang akhbar berkenaan Laporan Tahunan Bank Negara 2024 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Meskipun unjuran kadar inflasi di negara ini masih terkawal sekitar 2 peratus hingga 3.5 peratus tahun ini, namun Bank Negara Malaysia (BNM) tetap bimbang terhadap isu kos sara hidup.

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kos sara hidup kekal menjadi isu utama berikutan kadar pertumbuhan upah sangat perlahan pasca pandemik.

“Meskipun inflasi sederhana namun kos sara hidup masih membimbangkan dan kami mengakui perkara tersebut.

“Penting untuk diingatkan bahawa kos sara hidup bukan hanya ditentukan oleh inflasi sahaja tetapi ia juga dipengaruhi oleh pertumbuhan pendapatan.

“Seperti yang anda dapat lihat, sejak 2019 kadar pertumbuhan upah tertinggal jauh ke belakang berbanding harga barangan.

“Situasi ini memberi kesan negatif terutamanya kepada isi rumah B40 kerana (sebagai contoh) setiap RM100 daripada gaji, RM52 akan digunakan untuk memberi barangan keperluan. Ini tidak termasuk perkhidmatan-perkhidmatan penting seperti insurans dan sebagainya,” katanya ketika sidang media sempena pelancaran Laporan Utama BNM, di sini, hari ini.

Untuk rekod, pertumbuhan kumulatif harga barang pengguna dan upah pada suku keempat 2019 hingga suku keempat 2024 menunjukkan harga makanan melonjak 17.4 peratus manakala harga keseluruhan pula naik 9.3 peratus sedangkan upah pekerja hanya naik 7 peratus.

Situasi itu memberi impak paling buruk kepada kumpulan B40 kerana mereka menghabiskan 52 peratus daripada gaji untuk membeli barang keperluan (M40: 37 peratus daripada pendapatan manakala T20: 32 peratus).

Sehubungan itu, Bank Negara dalam laporan tahunannya mencadangkan reformasi struktur bagi menangani isu kos dan pendapatan bagi membolehkan isi rumah menghadapi cabaran kos sara hidup dengan lebih baik.

Katanya, reformasi itu amat perlu bagi merangsang produktiviti, meningkatkan persaingan dan mengukuhkan kemampanan ekonomi.

Reformasi itu menurut beliau, menumpukan kepada perubahan jangka panjang dalam dasar dan sistem ekonomi, dengan matlamat mewujudkan ekonomi yang berdaya saing dan cekap, sekali gus memacu pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi serta mengekalkan inflasi pada kadar yang rendah dan stabil.

Tambah BNM, untuk menangani tekanan kos sara hidup, pembaharuan struktur perlu memberi tumpuan kepada pengurangan beban regulasi seperti pembaharuan sistem cukai dan subsidi, penambahbaikan perkhidmatan awam, serta pemudahan pematuhan peraturan.

Langkah itu akan membantu perniagaan beroperasi dengan lebih cekap dan mengurangkan kos.

Selain itu, ia juga perlu menggalakkan penggunaan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui insentif seperti pelepasan cukai boleh meningkatkan produktiviti yang seterusnya mendorong kenaikan gaji dan harga yang lebih kompetitif.

Selain itu, reformasi berkenaan bakal meningkatkan persaingan dengan menghapuskan halangan perdagangan dan menguatkuasakan peraturan anti-monopoli yang akan memastikan harga yang adil serta meningkatkan kualiti produk.

Bagi pengguna, ini bermakna akses kepada barangan dan perkhidmatan yang lebih berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.

Bank pusat turut menekankan bahawa sejak pandemik, pertumbuhan gaji tidak sejajar dengan kenaikan harga keseluruhan, menyebabkan kuasa beli merosot dan taraf hidup menurun. Isu ini lebih ketara bagi isi rumah berpendapatan rendah yang mempunyai simpanan kewangan terhad dan membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk barangan keperluan, terutamanya makanan.

“Kenaikan inflasi makanan amat membimbangkan kerana ia terus menghakis kuasa beli mereka yang sudah sedia rendah. Pertumbuhan pendapatan perlu seiring atau melebihi kadar inflasi bagi mengekalkan kuasa beli dan taraf hidup,” kata laporan itu.

Walaupun kawalan inflasi melalui dasar monetari adalah penting, BNM menegaskan ia tidak mencukupi untuk menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.

Sebaliknya, perubahan struktur jangka panjang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti, mengukuhkan daya saing, dan merangsang pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, BNM menekankan kepentingan dasar perindustrian yang strategik dan berasaskan inovasi, di samping pembaharuan pasaran buruh untuk meningkatkan pendapatan isi rumah. Ini termasuk inisiatif yang memacu penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Dalam jangka panjang, pembaharuan sistem pendidikan yang menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) juga akan membantu memenuhi permintaan tenaga kerja dalam ekonomi berasaskan nilai tinggi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here