MELAKA – Sebanyak 92 aduan diterima daripada pengguna dalam Ops Pantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di semua bazar ramadan sekitar negeri ini sejak 3 Mac lalu.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, daripada jumlah aduan itu, sebanyak empat kes dikenakan tindakan kompaun RM300 setiap peniaga atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 membabitkan kesalahan tidak meletak tanda harga dan senarai perkhidmatan serta caj yang dikenakan.
“Menerusi Ops Pantau ini yang telah memeriksa 1,335 premis perniagaan dan gerai bazar ramadan, kita juga mengesan satu kes memaparkan harga dan maklumat mengelirukan dan disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluncurkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 di sebuah pusat beli belah di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain Allex memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas seperti ayam, telur, daging dan santan di Melaka mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.
“Ini kerana setakat ini KPDN negeri tidak menerima sebarang aduan mengenai kekurangan bekalan di pasaran.
“Namun kita akan terus menjalin kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan mencukupi,” katanya. – MalaysiaGazette