SABAK BERNAM – Seramai tiga individu dipanggil polis untuk dirakam keterangan susulan penemuan seorang mayat bayi di dalam lubang tandas stesen minyak Petronas Sungai Haji Dorani, di sini kira-kira pukul 11.15 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, mereka dipanggil bagi membantu siasatan.
“Setakat ini seramai tiga individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi dalam tandas stesen minyak terbabit,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu media melaporkan stesen minyak Petronas Sungai Haji Dorani di sini menjadi gempar dengan penemuan mayat seorang bayi yang terlangkup di dalam lubang tandas wanita kira-kira pukul 11.15 pagi Ahad lalu.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi tersebut meninggal dunia pukul 11.15 pagi.
Selain itu, Md Yusof berkata, polis juga sedang mengesan dua wanita dan pemilik kereta Perodua Bezza berwarna biru yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
“Bagi motif kejadian, kita percaya suspek mahu menyembunyikan kelahiran. Untuk itu, polis giat mencari mereka,” katanya.
Sementara itu, Md Yusof juga mengesahkan jantina mayat bayi malang itu adalah lelaki.
Polis percaya bayi itu baru sahaja lahir berdasarkan tali pusat dan plasenta yang masih melekat.
Bagaimanapun, katanya, punca kematian tidak dapat dipastikan memandangkan proses bedah siasat belum dijalankan.
“Bedah siasat akan dilakukan selepas keputusan X-ray dan ujian CT scan mangsa dibuat di Hospital UiTM Puncak Alam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: