Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barang rampasan samun bersenjata kedai emas selepas bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Kerana bebanan hutang hampir RM20,000 seorang anggota polis bantuan nekad melakukan samun bersenjata api di sebuah kedai emas di pasar raya NSK Kota Damansara, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak tujuh dulang barang kemas bernilai kira-kira RM2 juta dilarikan suspek dan kemudiannya melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Pesona.

“Kita dapati dia ada hutang hampir RM20,000 antara sebab dia melakukan samun ialah untuk bayar hutang, jenis hutang Along atau sebagai masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barang rampasan samun bersenjata kedai emas selepas bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun dalam tempoh 12 jam, polis berjaya menahan suspek selepas menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden tersebut kira-kira jam 4.56 petang.

“Bertindak atas risikan dan maklumat, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah berjaya menangkap seorang lelaki Melayu berumur 32 tahun, jam 10.15 malam.

“Lelaki warga tempatan itu disyaki menggunakan sepucuk pistol semasa melakukan samun dan ia dipercayai senjata api dari tempat kerja di Bukit Beruntung,” katanya.

Hussein berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek melakukan jenayah samun secara bersendirian dan akan memanggil beberapa saksi termasuk rakan sekerja bagi membantu siasatan.

“Suspek telah bertindak bersendirian dan tiada rekod lampau, dia melarikan menggunakan kenderaan miliknya yang diletakkan di luar pasar raya berkenaan.

“Hasil siasatan kami sehingga sekarang mendapati dia telah pergi ke premis tersebut dan melakukan pemeriksaan dan rondaan di kawasan itu sebelum dia melakukan samun.

Menurut Hussein, semasa tangkapan dibuat, polis menjumpai serangkai kunci bersama alat kawalan jauh, sebuah telefon bimbit berjenama, serangkai kunci rumah, satu beg galas jenama Quechua berwarna kelabu.

“Polis turut menjumpai 81 utas rantai warna kuning keemasan, satu beg silang berwarna hitam dan juga wang tunai sebanyak RM1,800 milik pelanggan kedai emas serta sekeping kad kuasa polis atas nama suspek.

“Turut dirampas pakaian suspek,” katanya.

Jelasnya, ketika kejadian, suspek tidak bekerja dan dia melakukan rompakan itu sebelum masuk bekerja shift jam 12 tengah malam.

“Senjata api yang digunakan oleh pasukan polis bantuan di tempat dia bekerja. Dia mengetahui kata laluan yang berkaitan untuk membawa keluar senjata api tersebut.

“Sebelum kejadian, dia telah pergi ambil senjata api itu, dia pergi melakukan rompakan ini, lepas itu dia balik, letakkan balik senjata itu di tempat simpanan.

“Lepas itu dia pergi ke rumah untuk bersiap masuk kerja jam 12 tengah malam, tapi tak sempat sebab pihak polis dapat tangkap dia,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan.

“Polis masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 4, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api.

“Dengan bantuan rakaman video litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam pasar raya, jalan raya, sistem PDRM dan risikan polis sendiri kita berjaya mengesan atau kenal pasti suspek ini,” katanya.

Hussein tidak menolak kemungkinan suspek cuba melarikan diri ke negeri pantai timur kerana dia sudah berkahwin dan pasangannya menetap di Kelantan.

“Suspek telah berkahwin dan keluarga berada di Kelantan, dia sewa rumah secara bujang di sini dan kita percaya kemungkinan dia akan melarikan diri ke Kelantan tapi polis berjaya tangkap dia lebih awal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here