KENYATAAN media berkenaan pemansuhan Liga MFL musim ini. - Foto: FB MFL

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) hari ini mengesahkan kejohanan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025-2026 apabila Rakan Kongsi Liga sebulat suara bersetuju memansuhkan saingan bawah 23 tahun itu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook MFL, keputusan untuk memansuhkan Piala MFL itu dibuat menerusi perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga yang terdiri daripada 13 Kelab Liga Super dalam pertemuan pada 19 Februari lalu.

“Dengan mengambil kira pandangan semua Rakan Kongsi Liga, MFL percaya keputusan untuk memansuhkan saingan Piala MFL ini perlu diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dan menstabilkan semula kedudukan kewangan kelab.

“Malah, MFL bersama Rakan Kongsi Liga juga bersetuju pada usia pemain 20 hingga 23 tahun adalah tempoh pemain muda sudah mula bersaing mendapatkan tempat dalam skuad utama berbanding bermain dalam pertandingan peringkat umur,” kata kenyataan itu.

Kejohanan untuk pembangunan pemain muda itu mula dipertandingkan pada 2023 dengan mendapat sokongan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di mana setiap kelab diwajibkan memiliki skuad Piala MFL bagi memenuhi salah satu kriteria dalam Pelesenan Kelab.

Bagaimanapun, selepas dua musim, MFL mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.

Tambah kenyataan itu, meskipun Piala MFL sudah tidak dipertandingkan lagi bermula musim depan, pembangunan pemain muda masih menjadi keutamaan dengan skuad Piala Presiden (bawah 20 tahun) dan Piala Belia (bawah 18 tahun) kekal bersaing dalam kejohanan anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jelasnya, dengan ketiadaan liga bagi pemain bawah 23 tahun itu, MFL komited untuk terus memperkasakan satu-satunya saingan liga domestik iaitu Liga Super bagi musim 2025-2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here