JASIN – Perjalanan pulang seorang ibu selepas menghantar anaknya ke sekolah berakhir hiba apabia dia maut dalam nahas motosikal di Jalan Melaka- Muar, Merlimau di sini pagi tadi.
Difahamkan, mangsa, Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, juga masih menyusukan anak bongsunya yang baru berusia enam bulan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 8.40 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di badan dan kaki.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Muar Lama untuk keluar simpang menuju ke jalan utama Jalan Melaka- Muar selepas selesai menghantar anaknya ke sekolah.
“Ketika itulah, sebuah kereta dipandu guru perempuan berusia 34 tahun dari arah Sungai Rambai menuju Merlimau tidak sempat mengelak mangsa kerana kedudukannya yang sudah terlalu dekat.
“Akibatnya, berlaku pelanggaran di bahagian kanan menyebabakan mangsa terjatuh dan cedera di badan serta kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa telah di bawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan melalui pegawai penyiasat Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260,” katanya. – MalaysiaGazette