KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau tidak membuat sebarang kesalahan apabila memutuskan untuk meneruskan majlis pecah tanah Masjid Madani, pada Khamis, 27 Mac ini.
Tegasnya, tanah yang menjadi pertikaian ketika ini adalah milik sebuah syarikat iaitu Jakel Trading Sdn. Bhd.
Masjid Madani merupakan projek pembinaan masjid di atas tanah yang diwakafkan oleh pengasas Jakel Trading Sdn. Bhd, allahyarham Mohamed Jakel Ahmad namun ketika ini menjadi kontroversi susulan terdapat sebuah kuil hindu di tapak yang sama.
“Pemimpin mesti tegas dalam hal sedemikian dan jangan zalim dengan tidak melakukan apa-apa.
”Ada masjid di Lahad Datu dirobohkan kerana tidak mengikut aturan, ada surau di Perak yang dirobohkan (kerana tanah tersebut sudah dimiliki pemaju), maka Majlis Agama Islam buat keputusan (untuk dirobohkan) dan ada masjid di Sentul yang dirobohkan.
”Jadi, negara kita ini tegak atas hukum (undang-undang). Tidak kira soal teknikal masjid itu 50 atau 100 tahun sekali pun (jika tidak mengikut undang-undang, akan dirobohkan).
“Di situ (Kuil Sri Sri Pathrakaliamman) ada yang kata (ia ada di tapak terbabit) pada 2012 mahupun 2008, tidak mengapa. Jangan robohkan, pindahkan ia dengan baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Polis ke – 218 di PULAPOL, di sini hari ini.
Tambah Anwar, meskipun dikecam dan dimaki pelbagai pihak sama ada daripada orang Islam sendiri mahu pun penganut agama Hindu, beliau tetap tegas untuk menjalankan tanggung jawabnya mengikut undang-undang.
Tegasnya, beliau tidak mahu menjadi seorang pemimpin bacul yang melanggar peraturan negara semata-mata mahu memuaskan hati sesetengah pihak.
”Ada orang Islam yang melampau memaki saya, (dia mengatakan) saya tunduk kepada penganut Hindu.
”Manakala penganut Hindu yang melampau pula menuduh saya mahu mengislamkan semua orang. Apatah lagi masjid itu nak dinamakan Masjid Madani.
”Sampaikan ada kawan-kawan yang kata, Anwar tukarlah nama masjid itu. Mana mungkin, (saya) jadi pemimpin yang bacul,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri mengesahkan akan menghadiri dan sekali gus merasmikan majlis pecah tanah Masjid Madani di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur, Khamis, 27 Mac ini.
Katanya, program tersebut akan berlangsung mengikut jadual dan beliau sendiri akan menanam batu asas di tapak tersebut. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Majlis pecah tanah Masjid Madani tetap berlangsung Khamis ini – PM