Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam keras tindakan pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang dijadualkan sebelum jam 10 pagi, esok, hanya beberapa hari menjelang Aidilfitri.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, menyifatkan tindakan itu sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan, terutama kerana tanah yang diduduki penduduk berstatus Malay Agriculture Settlement (MAS), yang sepatutnya mendapat perlindungan khas dan tidak boleh dijual kepada bukan Melayu.

“Peristiwa sebegini mengingatkan kita kepada kerakusan Zionis yang menjarah tanah di bumi saudara kita di sana.

“Belum pun tiba tempoh yang ditetapkan, penduduk Kampung Sungai Baru telah ‘dipenjarakan’ dengan tembok zink, malah diancam dengan kekerasan jika enggan berpindah. Ke mana hilangnya nilai perikemanusiaan?” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, tindakan itu menambah kebimbangan rakyat terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai ini, yang dikhuatiri akan menjejaskan pemilik tanah dan strata, terutamanya masyarakat Melayu dan India di bandar.

Mohamed Sukri turut mempersoalkan ketidakseimbangan peruntukan kerajaan dalam membantu komuniti tertentu.

“Akibat kerakusan pembangunan yang hanya lebih menguntungkan pemaju, kira-kira tujuh ekar tanah pegangan orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur bakal hilang, sekaligus menyingkirkan mereka dari ibu kota.
“Ironinya, sebuah rumah ibadat yang dibina secara tidak sah di atas tanah milikan orang lain pula seakan mendapat layanan istimewa.
“Sebelum ini juga, Menteri KPKT ada mengumumkan peruntukan RM150 juta untuk membantu kampung-kampung baru Cina untuk membaiki rumah dan menjalankan perniagaan mikro.
“Mengapa penduduk asal Melayu tidak diberi perhatian yang sama?” soalnya.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk menunjukkan solidariti dalam mempertahankan hak penduduk Kampung Sungai Baru.

“Jangan biarkan saudara kita berjuang sendirian mempertahankan tanah ini. Perjuangan utama bukan sekadar menuntut pampasan, tetapi mempertahankan identiti dan warisan kampung yang telah sekian lama wujud,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast