PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd. Bakke Salleh tidak puas hati dengan pemindahan keluar wang AS$700 juta daripada syarikat pelaburan strategik negara itu.
Bekas pegawai penyiasat kanan, Senior Asisten Komisioner (SAC) R. Rajagopal yang juga saksi pembelaan ke-11 (DW11) berkata, maklumat itu diperolehi ketika beliau merekodkan kenyataan Mohd. Bakke sewaktu siasatan dakwaan salah urus 1MDB.

Rajagopal yang ketika itu Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID) Bukit Aman berkata, Mohd. Bakke mengaku beliau dan lembaga pengarah tidak berpuas hati dengan perjanjian usaha sama AS$1 bilion yang ditandatangani antara 1MDB dan Petrosaudi International Limited (PSI) pada September 2009.
“Beliau juga tidak gembira dengan pemindahan wang AS$700 juta yang dimaksudkan untuk usaha sama tersebut,” ujar Rajagopal ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan utama.
Mahkamah sedang mendengar kes pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Menurut beliau, lembaga tersebut mempertikai bagaimana perjanjian itu yang sepatutnya dimeterai antara 1MDB dan PSI, sebaliknya perjanjian bertulis yang ditandatangani adalah antara dana dan entiti yang berpangkalan di Pulau Cayman yang didakwa dikaitkan dengan PSI.
Ujar Rajagopal, selain Mohd. Bakke, polis turut merekod keterangan ahli lembaga pengarah lain dan setakat pemahaman mereka, perjanjian adalah antara 1MDB dan PSI.
“Mohd. Bakke tidak berpuas hati dengan perjanjian itu dan mempertikai ke mana perginya AS$700 juta tersebut,” kata Rajagopal.
Ujar bekas pegawai kanan polis itu, AS$700 juta berakhir dalam entiti luar pesisir Good Star Limited, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Semasa perbicaraan 1MDB, Mohd. Bakke yang merupakan saksi pendakwaan berkata, beliau pernah menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Najib mengenai isu-isu di 1MDB, namun bekas Perdana Menteri tidak memberikan maklum balas.
Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IMDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi turut memberitahu, Mohd Bakke tidak berpuas hati dengan pembayaran sebanyak AS$700 juta ke dalam akaun Good Star.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette