KUALA LUMPUR – Polis menyita 26 buah motosikal dan menahan dua remaja lelaki dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Bandaraya Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata sebanyak 63 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi pada jam 10.00 malam 24 Mac hingga 4.00 pagi, Selasa.
“Operasi ini dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Selatan (BSPTD JBS) dengan kekuatan tujuh anggota polis, diketuai seorang inspektor dari bahagian penguatkuasaan trafik.
“Dalam pemeriksaan ke atas 52 individu bersama 46 buah motosikal, sebanyak 26 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu serta ubah suai struktur kenderaan.
Selain itu, dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun turut ditahan selepas didapati melakukan aksi berbahaya di jalan awam sehingga mengancam keselamatan pengguna lain.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 hingga RM15,000 serta hukuman penjara wajib antara satu hari hingga lima tahun,” katanya.- MalaysiaGazette