KUALA LUMPUR – Polis membuka siasatan berhubung insiden perselisihan faham antara dua penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat di Johor Bahru, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya mengesan video berkenaan yang dimuat naik di TikTok dan mengesahkan telah menerima laporan daripada mangsa.
Menurut beliau, mangsa, seorang lelaki berusia 29 tahun, membuat laporan polis pada jam 4.29 petang semalam, mendakwa kejadian berlaku pada 4.40 petang kelmarin di persimpangan Jalan Tampoi dan Jalan Persiaran Tanjung.
“Mangsa menunggang motosikal dan berhenti di persimpangan lampu isyarat itu sebelum berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki tidak dikenali yang turut menunggang motosikal dan berhenti di persimpangan itu.
“Mangsa dipukul beberapa kali di bahagian kepala oleh lelaki berkenaan sebelum suspek beredar dari lokasi kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
Terdahulu, video berdurasi 23 saat itu memaparkan seorang lelaki memarahi mangsa sebelum memukul kepalanya sebanyak enam kali, lalu beredar sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau.-MalaysiaGazette