Foto tular

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular mengaitkan beliau dengan jenama produk yang diboikot kerana didakwa menyokong Israel.

Beliau dalam kenyataan di Facebook berkata, tuduhan bahawa beliau mempromosikan produk berkenaan merupakan fitnah nyata dengan niat tidak baik.

Tegasnya, hantaran tular berkenaan adalah rekaan dan hanyalah satu penipuan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Gambar tersebut telah disunting. Semua tulisan dalam hantaran ini adalah rekaan dan satu penipuan. Saya mohon agar hantaran ini dan lain-lain seumpamanya diturunkan segera.

“Saya menerima jemputan ini daripada pihak Markaz Al Qarahdaghi untuk berkuliah di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13. Saya hadir bagi memenuhi undangan, sama seperti undangan dari masjid-masjid yang lain,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak produk berkenaan telah menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf sebelum sesi ceramahnya berlangsung dan kemudiannya memuat naik hantaran mengenainya di laman rasmi mereka.

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ Harun turut menghargai orang ramai yang menyelidik dan memahami keadaan sebenar tanpa memburukkan lagi keadaan.

Namun, beliau meluahkan rasa terkilan kerana isu itu kembali diperdebatkan ketika umat Islam sedang fokus mengejar keberkatan 10 malam terakhir Ramadan.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima, mempersoalkan pendirian Ustazah Asma’ Harun yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap kempen boikot jenama tertentu.

Ia berdasarkan pandangan Ustazah Asma’ yang menyatakan rakyat Malaysia perlu sama-sama bersolidariti dengan rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis dengan apa jua cara termasuk memboikot produk-produk yang menyokong Israel.

“Rakyat Malaysia berjuang dengan rasa sementara saudara di Palestin berjuang dengan nyawa,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here