Gambar dan lokasi yang dikongsi oleh Facebook 'Rumah Ibadat Haram Dibina Dimana Hari Ini'

KUALA LUMPUR – Satu laman Facebook ‘Rumah Ibadat Haram Dibina Di mana Hari Ini’ telah diwujudkan oleh warganet untuk berkongsi tapak ibadat yang dibina secara tidak sah di tanah awam dan persendirian.

Difahamkan laman tersebut dibuat rentetan kontroversi melibatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dibina di atas tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum dijual kepada Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel).

Menurut pentadbir, laman itu diwujudkan sebagai ruang perbincangan awam berkaitan isu pembangunan, pemilikan tanah dan struktur binaan tanpa kelulusan tanpa mengira bangsa, agama, atau kepercayaan.

Katanya, fokus utama adalah kepada aspek perundangan, penguatkuasaan, dan ketelusan urus tadbir, bukan kepada sentimen perkauman atau kebencian agama.

Beliau mengingatkan segala perkongsian dan komen perlu berlandaskan fakta dan bukti, bukan spekulasi atau fitnah, tidak menyentuh atau menghina mana-mana agama, kaum, atau komuniti serta tidak menyebar kandungan hasutan, provokasi atau menyentuh sensitiviti agama.

“Admin tidak bertanggungjawab terhadap kenyataan ahli yang melanggar undang-undang atau polisi Facebook mahupun undang-undang negara. Komen bersifat ekstrem, rasis, atau berunsur kebencian akan dipadam dan ahli akan disekat serta-merta.

“Tujuan kami ialah membina kesedaran sivik dan menuntut keadilan dalam pemeliharaan undang-undang dan keadilan sosial,” katanya.

Mempunyai pengikut yang kini berjumlah lebih 12,000 akaun, ahli berkongsi gambar, lokasi malah koordinat GPS tapak rumah ibadat haram yang dibina secara kecil-kecilan di seluruh negara.

Pengikut laman itu turut berkongsi cara terperinci bagaimana untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai kewujudan tapak ibadat yang dibina secara haram.

Ada pengguna mendakwa terdapat tapak ibadat yang dahulunya kecil menjadi semakin besar selepas tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Pengguna ‘anonymous participant’ misalnya mendakwa pembinaan kuil Sri Siva Subramaniar di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang.

“Saya ingin membuat aduan rasmi mengenai kewujudan binaan haram yang dipercayai sebuah kuil tidak berdaftar di lokasi bersebelahan sungai/parit, berdekatan Pusat Kawalan Kusta Negara dan belakang Kolej Asrama Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di laluan utama menuju Hospital UiTM, Masjid Hospital Sungai Buloh, dan Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh.

“Binaan ini dipercayai telah didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa, sekali gus menimbulkan beberapa isu serius,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here