KUALA LUMPUR – Cadangan Dr Abdul Halim Tamuri agar mereka yang bermastautin di Selangor mengundi di negeri itu perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau berpandangan bahawa prinsip asas cadangan Pesuruhjaya Pas Selangor itu mempunyai aplikasi lebih meluas, iaitu seseorang sepatutnya hanya mengundi di lokasi dia bermastautin.
“Sewaktu saya menganggotai Electoral Reform Committee yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, topik ini telah ditimbulkan dan seingat saya kami memberi beberapa idea yang semuanya berkisar ke arah pengundian di lokasi mastautin.
“Bagi saya, jika seseorang itu mengundi di lokasi yang dia tidak bermastautin (contohnya di kampung tempat lahir yang telah bertahun-tahun ditinggalkan), ia menimbulkan pertembungan dengan prinsip asas demokrasi iaitu kuasa memilih wakil rakyat seharusnya dipegang oleh mereka yang akan menerima kesan daripada pilihan yang dibuat, bukan oleh mereka yang tidak merasa apa-apa kesan dari pilihan mereka.
“Adalah tidak wajar seseorang yang hanya pulang untuk seminggu dua dalam setahun menentukan wakil rakyat yang akan memegang jawatan untuk lima tahun di tempat itu.
“Jika ini berlaku, ia bermaksud individu yang telah menjadi orang luar yang tidak lagi menetap di situ seperti merampas kuasa penduduk setempat untuk menentukan wakil rakyat mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, tidak wajar untuk seseorang yang tinggal di sesuatu lokasi bertahun-tahun tetapi, sengaja pergi mengundi di tempat lain.
Katanya, ini pula seperti dia tidak mempedulikan siapa yang mewakili kawasan sendiri dan tidak mahu bertanggungjawab kepada lokaliti sendiri.
Lantaran itu beliau berkata, memang seharusnya demokrasi di Malaysia memastikan bahawa konsep “local representation” (wakil tempatan) ditegakkan kerana ia juga adalah satu bentuk reformasi institusi.
“Saya menyeru agar kita mengenepikan pertimbangan sempit kepartian seperti yang ditunjukkan oleh beberapa ahli politik PH (Pakatan Harapan) dalam isu ini.
“Perkara ini adalah lebih besar daripada kerakusan PH untuk berkuasa semata-mata. Penolakan buta tuli adalah tanda mereka tidak faham mengenai nilai sebenar local representation,” katanya.
Dalam pada itu Wan Saiful berkata, ada yang mengatakan PH memang mahu pengundi Melayu keluar dari kawasan tertentu dan mengundi di tempat lain kerana parti itu ada kelebihan jika perkara itu berterusan.
Bagaimanapun, beliau berkata, baginya perkara itu tidak ada kena mengena dengan bangsa atau agama dan sekiranya jika orang Cina atau India menetap di sesuatu lokaliti, mereka juga wajar mengundi di lokaliti itu secara inklusif.
“Adalah tidak wajar PH menolak cadangan yang baik semata-mata disebabkan takut kalah pilihan raya,” tambahnya. – MalaysiaGazette
perlu menang cara lain.
macam mana kalau Selangor selepas ini mengharamkan pengambilan pekerja dari luar Selangor, terutama dari Kedah, Kelantan dan Terengganu? Kan nanti menyusahkan rakyat negeri2 tersebut.
ada baiknya jika hasrat menunggang rakyat dengan cita2 kemenangan di Selangor dapat dipisahkan.