KUALA LUMPUR – Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) mendedahkan Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliaman ditekan untuk akur terhadap arahan pemindahan kuil berkenaan.
Presidennya, P Ramasamy mendakwa jawatankuasa berkenaan menghadapi tekanan untuk berpindah selama bertahun-tahun dengan terakhir daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selama bertahun-tahun, jawatankuasa kuil menentang tekanan untuk berpindah, tetapi tekanan terakhir datang apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sendiri mendesak pemindahannya dengan menggunakan ahli politik India yang menjadi talibarut atau Mandor untuk menekan komuniti Hindu.
“Secara tiba-tiba, sebuah kuil yang wujud lebih lama daripada sistem perundangan moden Malaysia diisytiharkan sebagai haram. Akibatnya? Kuil ini terpaksa berpindah, memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani yang bakal dirasmikan oleh Anwar sendiri pada 27 Mac 2025,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malah dakwa beliau, keputusan untuk memindahkan kuil itu kira-kira 50 meter dari lokasi asal ke tapak baru berkeluasan 4,000 kaki persegi yang akan diwartakan secara kekal untuk kegunaannya tidak dibuat secara bebas dan adil, walaupun semua pihak terlibat secara langsung menyatakan sebaliknya.
“Urimai amat percaya bahawa jawatankuasa kuil telah didesak untuk menerima pemindahan ini dalam keadaan paksaan dan ugutan.
“Keputusan itu tidak dibuat secara bebas dan adil sebaliknya di bawah paksaan, dengan ahli Parlimen India dari kedua-dua MIC dan Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan pendirian mereka,” kata bekas pemimpin DAP itu.
Sebelum ini, Setiausaha jawatankuasa kuil itu, Karthik Gunaseelan dilaporkan berkata, persetujuan dicapai semalam hasil perbincangan dan rundingan mereka bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia kemudian disahkan oleh Timbalan Presiden MIC, M Saravanan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa, yang kemudiannya mengumumkan butiran tersebut.
Semalam, Anwar membuat kenyataan akan merasmikan majlis pecah tanah sebuah masjid yang bakal dibina di Jalan Masjid India di sini Khamis ini, biarpun dipertikai badan bukan kerajaan (NGO).
Malah, Anwar turut mahu supaya pihak pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman meneruskan perbincangan dengan pemilik tanah iaitu syarikat swasta serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi urusan pemindahannya ke lokasi lain. – MalaysiaGazette