Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam

KUANTAN – Lembaga Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dalam proses membayar penebusan saham kepada 8,221 anggotanya melibatkan RM286.54 juta.

Menurut Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, jumlah terbabit merupakan baki daripada RM1.499 bilion jumlah keseluruhan permohonan penebusan yang diterima agensi itu antara 2015 hingga 2024.

“Lembaga KPF ambil maklum aduan dan keresahan anggota yang rata-rata terdiri daripada warga peneroka berkaitan permohonan penebusan syer yang mengambil masa lebih 12 bulan, terutamanya mereka yang berada dalam keadaan mendesak, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

“KPF telah mencairkan aset-aset pelaburan mudah cair sedia ada bagi memenuhi tuntutan penebusan syer anggota ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Beliau berkata, sebagai langkah ke hadapan, Lembaga KPF telah merangka Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan untuk menyelesaikan permohonan penebusan syer yang tertunggak dan perancangan jangka panjang pendapatan mampan.

Antaranya termasuk pelupusan sebahagian aset perladangan, penjualan beberapa aset hartanah yang dikategorikan sebagai low-yielding dan non generating dan penstrukturan pelaburan milik KPF dalam syarikat bersekutu dan kumpulan.

“Proses pencairan aset-aset pelaburan tersebut memakan masa untuk dimuktamadkan kerana ianya bergantung kepada permintaan pasaran, penilaian dan proses berkaitan dengan perundangan.

“Sebahagian eksesais tersebut dijangka dapat dimuktamadkan seawal April 2025 dan berperingkat sehingga penghujung tahun 2025,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya KPF kekal komited untuk menguruskan bayaran penebusan saham anggota secara berperingkat dalam pada masa yang sama memastikan keseimbangan antara penebusan syer dan kelestarian pelaburan bagi menjaga kepentingan lebih 250,000 anggota lain. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pencarum kecewa bayaran jualan saham, dividen KPF belum selesai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast