Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media ketika hadir Majlis Berbuka Puasa UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mampu membuka ruang penambahbaikan yang lebih luas terhadap pengurusan bencana negara.

Bahkan, memberi peluang kepada Malaysia untuk bergerak lebih proaktif memperkasa pengurusan bencana di negara-negara serantau, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebagai Pengerusi JPBP, saya turut berbangga dengan pendekatan whole-of-nation approach yang dizahirkan dalam semua fasa pengurusan bencana termasuk di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Selain negara anggota ASEAN, Malaysia turut diiktiraf oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui penghantaran Pasukan SMART ke Turkiye, penyertaan dalam rundingan dasar bencana, serta latihan bersama agensi luar negara,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, setiap tahun Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memastikan semua agensi-agensi di bawah termasuk jawatankuasa berkenaan, JPBN (negeri) dan daerah (JPBD) sentiasa bersedia berhadapan dengan segala jenis bencana demi memastikan keselamatan rakyat.

“Segala inisiatif dan mekanisme pengurusan bencana yang diimplementasikan oleh Nadma selaku agensi peneraju menjadi penanda aras kepada keberkesanan dasar terhadap tahap kesiapsiagaan sistem dan semangat kerjasama seluruh negara untuk masa mendatang,” tambahnya.

Ujarnya lagi, peruntukan bantuan bencana yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu mencerminkan tanda keprihatinan kerajaan Madani terhadap mangsa-mangsa bencana di seluruh negara.

Menurutnya, sejumlah RM232 juta diperuntukkan kepada semua negeri untuk pemberian RM1,000 untuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana dan RM10,000 untuk BWI kematian kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.

Sejumlah RM9.28 juta peruntukan pengurusan pengoperasian bencana kepada Nadma untuk disalurkan kepada semua JPBN, Sekretariat JPBN dan Agensi Tindak Balas bertujuan bagi melancarkan operasi tindak balas dan menyelamat mangsa bencana di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sama ada di peringkat pusat, negeri mahupun daerah.

Selain itu, langkah-langkah pencegahan dan mitigasi turut menjadi tumpuan utama sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, operasi pembenihan awan di beberapa kawasan terpilih menunjukkan pendekatan kerajaan semakin beralih kepada pengurangan risiko secara proaktif.
Inisiatif pembangunan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di sembilan buah negeri adalah salah satu bentuk pelaburan Kerajaan Madani dalam memperkasakan prasarana di kawasan hotspot bencana.
Segala kejayaan koordinasi operasi pengurusan bencana ini adalah hasil daripada perancangan dasar yang komprehensif, jelas Ahmad Zahid.
Manakala dari sudut kecekapan operasi, latihan berstruktur untuk pegawai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah dilaksanakan secara meluas.
Keupayaan tindak balas turut diperkasa menerusi penempatan lima unit jambatan Bailey di lokasi strategik dan perolehan sebanyak 49 set pam air bergerak dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 2024.
Pam ini seterusnya diagihkan ke Negeri Perak, Johor dan Kelantan bagi mempercepatkan proses mengeluarkan air banjir ‘termenung’.
Ketika negara terus berdepan dengan realiti perubahan iklim dan bencana yang semakin kompleks, keutamaan Kerajaan Madani kekal jelas yakni memperkukuh dasar, mempercepat pelaksanaan, dan memperluas kerjasama.
“Kesiapsiagaan bencana akan dinilai bukan semata-mata dengan fungsi dan kecekapan pentadbiran di peringkat kerajaan, tetapi nilai tanggungjawab kolektif semua rakyat untuk melindungi nyawa, kehidupan dan masa depan negara kita bersama,” ujar beliau.

Jelas beliau, meskipun Monsun Timur Laut 2024/2025 telah pun berakhir dan ketika ini, tumpuan sepenuhnya sedang diberikan kepada usaha pasca banjir dan bantuan kemanusiaan kepada semua mangsa yang terlibat.

“Selain itu, langkah-langkah pencegahan dan mitigasi turut menjadi tumpuan utama sepanjang tahun lalu.

“Operasi pembenihan awan di beberapa kawasan terpilih menunjukkan pendekatan kerajaan semakin beralih kepada pengurangan risiko secara proaktif.

“Inisiatif pembangunan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di sembilan buah negeri adalah salah satu bentuk pelaburan kerajaan Madani dalam memperkasakan prasarana di kawasan hotspot bencana.

“Segala kejayaan koordinasi operasi pengurusan bencana ini adalah hasil daripada perancangan dasar yang komprehensif,” jelasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here