Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MEI 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak tiada kepentingan peribadi dalam idea pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) oleh Kementerian Kewangan pada 2008.

Tan Sri Noh Omar, 67, berkata, mustahil Najib individu di sebalik cadangan itu kerana Kementerian Kewangan mengambil masa selama empat bulan untuk menyediakan memorandum mengenainya.

Noh Omar

Beliau yang juga saksi pembelaan ke-15 (DW15) berkata, jika Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mempunyai pengetahuan mengenainya, Kementerian Kewangan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menyediakan memorandum berkenaan.

Beliau yang ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, kelewatan selama empat bulan itu diperoleh selepas mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri.

Noh menyatakan demikian ketika dirujuk oleh pasukan pembelaan terhadap minit mesyuarat Kabinet bertarikh 12 Disember 2008.

Ujar beliau, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) telah membincangkan perkara mengenai TIA yang merupakan idea Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Selain berjawatan Timbalan Perdana Menteri, Najib adalah Menteri Kewangan ketika pentadbiran Abdullah.

Noh menyatakan demikian dalam pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding bela diri Najib.

Ketika ditanya Muhammad Shafee, Noh berkata, jika Najib tidak hadir mesyuarat Kabinet, beliau harus bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan kerana ia keputusan Jemaah Menteri.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, Noh berkata, biasanya jika arahan Kabinet, ia (memorandum) disediakan lebih cepat.

Muhammad Shafee: Jika Najib benar-benar berminat dengan TIA, berapa lama (untuk memorandum dikeluarkan)?
Noh: Saya fikir ia akan ambil masa sebulan. Tidak perlu menunggu empat bulan.

Muhammad Shafee: Adakah Najib cenderung ambil alih TIA dan meletakkannya di bawah Kementerian Kewangan?
Noh: Saya rasa tidak.

Muhammad Shafee: Inspirasi siapa untuk menubuhkan TIA?
Noh: Berdasarkan minit, ia datang daripada Sultan Terengganu ketika itu.
Muhammad Shafee: Ini akan memberi manfaat kepada ekonomi Terengganu?
Noh: Ya.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes pembelaan Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here