Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Polis sudah memulakan siasatan terhadap insiden seorang pekerja wanita di kedai aiskrim Mixue, Central I-City Mall, Seksyen 7, Shah Alam yang dimaki hamun oleh seorang pelanggan lelaki dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 25 Mac kira-kira jam 8.42 malam.

Katanya mangsa, seorang wanita berketurunan Iban mendakwa dihina dan dimaki oleh seorang pelanggan lelaki ketika transaksi pembayaran sedang dilakukan.

Menurut siasatan awal, suspek yang datang bersama keluarganya telah membeli aiskrim dan minuman strawberi berharga RM6.50 namun dia membayar menggunakan wang tunai RM10.

“Perselisihan faham terjadi apabila mangsa meminta wang syiling 50 sen daripadanya kerana kekurangan baki dalam mesin juruwang.

“Suspek dipercayai menyindir mangsa kerana permintaan tersebut. Keadaan bertambah tegang apabila mangsa menutup mesin juruwang dengan kuat, menyebabkan suspek berasa tidak puas hati lalu bertindak memaki serta menghina mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Kata Mohd Iqbal, insiden itu berjaya dileraikan oleh rakan sekerja mangsa sebelum suspek beredar dari lokasi selepas urusan pembelian selesai.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa telah menghantar rakaman kamera litar tertutup kejadian kepada ahli keluarganya, sebelum video tersebut ditularkan di laman sosial TikTok oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 504 dan 509 Kanun Keseksaan, yang masing-masing membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan lima tahun atau denda jika sabit kesalahan.

“Kita juga siasat terhadap penyebaran video kejadian di media sosial di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Seksyen 14 memperuntukkan denda maksimum RM100, manakala Seksyen 233 boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan penyalahgunaan media komunikasi.

Polis juga menasihatkan orang ramai agar menjaga keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan tidak menyebarkan sebarang kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan.

Individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 017-6444895. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here