Mohamad Hafizwan dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari iniĀ atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki kerdil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Hafizwan Ayob, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Thalha Bachok@Embok Mok.

Dia yang bekerja sebagai seorang jurujual didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah pusat beli-belah di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau, di sini, pukul 8.15 malam, pada 16 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dalam rayuannya merayu supaya dia dilepaskan kerana mendakwa tidak bersalah.

“Lepaskan saya, saya tak buat apa-apa pada budak itu, saya cuma dukung saja,” katanya.

Hakim Thalha Bachok berkata, Mohamad Hafizwan hanya perlu merayu bagi mengurangkan jaminan kerana belum dijatuhkan hukuman memandangkan dia membuat pengakuan tidak bersalah

Dia yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jaminan yang lebih rendah iaitu RM5,000 atas alasan menanggung ibu bapanya yang mana ibunya mempunyai semput dan memerlukan ubat yang dibeli olehnya setiap bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah RM20,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

“Tertuduh dengan mangsa tidak mempunyai hubungan kekeluargaan. Saya turut mencadangkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 April depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here