KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 5.0 peratus serta bonus dividen 0.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, kadar agihan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Jumlah agihan itu membabitkan RM514.20 juta, lebih tinggi berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada 2023.
Agihan itu memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pengumuman dividen LTAT dilakukan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dividen lebih baik diumumkan menyaksikan LTAT mengekalkan dividen pada kadar 5.0 peratus, tiga tahun berturut-turut, sekali gus mencerminkan pemulihan kukuh, prestasi mampan serta kestabilan dana.
Ketika membuat pengumuman itu, Mohamed Khaled berkata, dividen 2024 mencerminkan kejayaan strategi pelaburan yang berdisiplin dan pengurusan proaktif aset warisan.
Kadar dividen telah meningkat secara beransur-ansur sepanjang tahun, daripada 2.5 peratus pada 2019 kepada 3.5 peratus pada 2020, 4.1 peratus pada 2021, dan lima peratus masing-masing bagi 2022 dan 2023. – MalaysiaGazette