KUALA LUMPUR- Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 5 April di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Majlis yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
KPN dalam kenyataan berkata, majlis tersebut merupakan kesinambungan tradisi sambutan Aidilfitri yang dianjurkan oleh Perdana Menteri bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
Bertemakan ‘ Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara’, program tersebut katanya, mengangkat nilai ihsan dan semangat toleransi sebagai asas kepada kesatuan dalam kepelbagaian.
Ia turut menjadi wadah untuk meraikan kemajmukan budaya Malaysia dan memperkukuh nilai keharmonian serta kesejahteraan dalam masyarakat.
Sementara itu, Aaron Ago berkata, majlis tersebut akan memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dengan semangat saling menghormati, memahami dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi teras keharmonian negara.
“Aidilfitri bukan sekadar satu perayaan keagamaan tetapi juga satu manifestasi perpaduan yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang,” katanya.
Orang ramai dijemput hadir meraikan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan.
Pelbagai aktitiviti menarik akan disediakan seperti Pertandingan Sukan Rakyat Perpaduan, Pameran reruai jabatan dan agensi, Pameran rumah KAMI (rumah etnik), dan Persembahan silang budaya. -MalaysiaGazette