Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat replika masjid selepas Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Pembinaan Masjid Madani di atas tanah wakaf milik syarikat tekstil Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) di Jalan Masjid India di sini dapat mengatasi masalah kesesakan jemaah hingga terpaksa menunaikan solat Jumaat di kaki lima.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, ketika ini hanya surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Masjid India menjadi tumpuan orang ramai untuk menunaikan solat terutama setiap Jumaat.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin

“Langkah membina sebuah masjid di persekitaran kawasan sesak dan menjadi tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) ini amat membantu dan memberi kemudahan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk datang membeli-belah di kawasan ini.

“Tahniah diucapkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang dapat menyelesaikan isu ini dalam suasana menang menang.

“Tidak dilupakan kepada Jakel yang dapat meneruskan pembinaan bagi menampung keperluan warga kota,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke tanah wakaf berkenaan untuk meletakkan batu asas sebagai tanda pembinaan Masjid Madani, hari ini.

Masjid Madani yang dibangunkan di atas tanah milik Jakel di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah di sini dijangka siap sepenuh dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Tengku Azman berkata, pengalihan tapak kuil di tanah wakaf itu jangan dilihat sebagai jalan mudah kepada mana-mana pihak menempatkan binaan haram sama ada untuk aktiviti agama, perniagaan atau penempatan.

“Setiap pembinaan perlulah berada di atas tanah atau tapak sendiri dan tidak lagi dibenarkan dibina di tanah-tanah milik individu lain atau tanah kerajaan secara tidak sah.

“Diharapkan kerajaan harus tegas dalam menguatkuasakan undang-undang di atas apa-apa pembinaan tanpa kebenaran ditanah kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here