JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi lega apabila keadaan banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa di Johor yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) sudah berkurangan.
Menurutnya, sehingga pukul 4 petang tadi, jumlah penduduk terjejas telah menurun kepada 266 orang daripada 79 keluarga.
“Batu Pahat merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas, dengan dua PPS masih beroperasi. Kerajaan Negeri akan terus memantau situasi banjir dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera kepada rakyat yang memerlukan.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pejabat daerah, petugas barisan hadapan, sukarelawan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.
Katanya, seperti yang sudah diumumkan sebelum ini, kerajaan negeri hari ini menyalurkan bantuan khas kewangan untuk mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) secara serentak di enam daerah yang terjejas di Johor.
Bantuan berjumlah RM11.247 juta itu katanya, melibatkan 3,749 ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar di PPS.
Beliau berkata, setiap KIR menerima RM3,000 dalam memastikan rakyat yang ditimpa musibah mendapat bantuan segera terutama menjelang Syawal yang bakal tiba.
Bantuan itu juga ujarnya, terhasil daripada kerjasama erat antara kerajaan negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).
“Kerajaan Negeri Johor akan terus komited menangani bencana banjir dan memastikan setiap mangsa menerima bantuan yang sewajarnya dengan segera.
“Marilah kita terus berdoa agar cuaca di Johor sentiasa baik dan semua yang terjejas dapat kembali ke kediaman masing-masing dengan selamat. Semoga segala usaha ini membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada rakyat Johor. Insya-Allah,” katanya.- MalaysiaGazette