KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 selepas separuh pertama tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembangunan mekanisme pelaksanaannya sedang diperhalusi.
Sehubungan itu jelasnya, kerajaan tidak mahu mengumumkannya terlalu awal.
“Kita tidak mahu mengumumkan sesuatu perkara sementara kami masih menjalankan kerja, kerana perkara paling penting yang kami mahu pastikan adalah sistem ini kukuh.
“RON95 akan menggunakan dua peringkat harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi. Sistem yang akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak adalah melalui MyKad,” katanya ketika sidang media pelancaran sistem pembayaran terbuka untuk Rapid KL On-Demand (DRT) di Depo KL-Rapid di Cheras.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Mengulas lanjut Amir berkata, penggunaan MyKad terhadap rasionalisasi subsidi itu kelak dilihat wajar kerana kini sistem tersebut sedang digunakan dalam Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menurut beliau, ketika ini sumbangan SARA kepada 700,000 penerima yang akan diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April ini menggunakan MyKad sebagai medium penyaluran bantuan tunai setiap bulan.
Tambahnya, dalam masa yang sama bantuan yang diterima di dalam MyKad itu boleh digunakan bagi transaksi di 3,500 kedai.
“Jika kita boleh menggunakan MyKad kepada 5.4 juta penerima dengan 3,500 kedai, ia menunjukkan sistem itu kukuh.
“Justeru, tidak ada beza jika MyKad diguna pakai untuk rasionalisasi subsidi RON95,” katanya.
Kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2025 sebelum ini mengumumkan cadangan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette