KOTA TINGGI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengenal pasti pencemaran sebuah sungai di Gugusan Air Tawar di sini berpunca dari sebuah kilang sawit.
Pengarah JAS Johor, Mohd Famey Yusoff berkata, pihaknya daripada Cawangan Pengerang sudah menjalankan siasatan pagi tadi dan mendapati sebuah kilang mengalami kegagalan sistem.
“Ini menyebabkan berlaku tumpahan minyak mentah kelapa sawit. Bagaimanapun minyak berkenaan tidak berbahaya kerana ia minyak sawit mentah.
“Kilang terbabit dikenakan penahanan operasi kelengkapan (POK). Mereka diarahkan membuat kerja-kerja pembersihan. Kerja pembersihan tersebut sedang dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu tular video dan gambar sebuah sungai di Gugusan Air Tawar menunjukkan pencemaran air di sebatang sungai.
Perkara itu menimbulkan kebimbangan ramai terutama khuatir berbahaya selain boleh menjejaskan eko sistem sungai.- MalaysiaGazette